HBAE3103 SEPT14

29
HBAE 3103 KRAF TRADISIONAL SEPTEMBER 2014 BACHELOR OF TEACHING (PRIMARY EDUCATION) WITH HONOURS HBAE 3103 KRAF TRADISIONAL 0

description

SENI

Transcript of HBAE3103 SEPT14

HBAE 3103 KRAF TRADISIONAL

SEPTEMBER 2014

BACHELOR OF TEACHING (PRIMARY EDUCATION) WITH HONOURS

HBAE 3103

KRAF TRADISIONAL

PENGENALAN

Kesenian menjadi tunjang kepada kebudayaan masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Dengan adanya kesenian seperti ini identiti masyarakat Melayu lebih terserlah dan dikenali ramai.Warisan seni tradisional di kalangan orang Melayu disampaikan secara lisan dari generasi kepada satu generasi.Individu yang menghasilkan kraf ini mempunyai ruang untuk menggalakan kreativiti dan mempertahankan nilai-nilai estetik karya seni tersebut.

Kementerian Kebudayaan dan Kesenian telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memantapkan dan memperkembangkan lagi kebudayaan masyarakat Melayu. Kesenian bangsa Melayu telah diakui dunia sebagai unik dan menarik. Seni rupa dalam masyarakat Melayu merupakan ciptaan yang mengandungi unsur-unsur seni yang dihasilkan oleh orang Melayu melalui ukiran, anyaman, tenunan, seni bina dan sebagainya.

Kraf tradisional adalah warisan bangsa, pusaka peninggalan nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Kraf tradisional yang dihasilkan kaya dengan unsur-unsur budaya yang dapat dilihat melalui bentuk, gaya, sifat, garis, gerak dan warnanya. Ia dihasilkan menggunakan kaedah reka bentuk dan hiasan tertentu di samping bahan yang digunakan adalah tidak terhad. Lazimnya kraf tradisional dihasilkan untuk kegunaan harian atau untuk sesuatu kerohanian. Tukang pandai Melayu sentiasa pandai mencipta barang-barang kraf supaya boleh digunakan atau sebagai bahan yang indah dengan tujuannya yang berbeza-beza.

Seni Melayu adalah penjelmaan unsur-unsur dari alam semula jadi kepada satu bentuk seni rupa. Terhasilnya karya-karya ini dengan kuatnya pengamatan atau pemikiran penciptaannya yang dijelmakan melalui impian, seterusnya mencerminkan suasana harmoni di antara manusia dan alam sehingga wujud kelainan dan keunikan antara karya-karya seni dalam kebudayaan Melayu dengan karya seni kebudayaan-kebudayaan besar di dunia dan karya-karya seni kebudayaan kelompok masyarakat lain yang berhampiran dengannya. Seni kraf Melayu juga mempunyai hubungan yang erat antara masyarakat Melayu dengan kepercayaannya iaitu Islam.

Setelah kedatangan Islam ke rantau Kepulauan Melayu, kepercayaan orang Melayu telah berubah daripada mempercayai dan memuja patung-patung atau tuhan-tuhan yang banyak kepada kepercayaan kepada Allah (s.w.t.). Mereka menganggap alam hanyalah perhiasan yang menyerikan kehidupan sementara di dunia dan menganggap kehidupan yang kekal abadi adalah kehidupan di akhirat. Dengan itu, para tukang pandai Melayu terus berusaha menghasilkan ciptaan baru yang bermanfaat kepada kehidupan dunia yang tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan di akhirat. Ini terbukti dengan penggunaan ragam hias atau motif dalam sesuatu penghasilan kraf yang amat jelas menunjukkan ciri-ciri keislaman. Walaubagaimanapun berdasarkan ajaran agama Islam, rupa figura manusia atau binatang yang sebenar tidak dibenarkan atau diharamkan ia digambarkan dalam ragam hias kraf tradisional Melayu.

Asal-usul Sejarah Kraf

Negara kita terkenal dengan pelbagai hasil Kraf Tradisional yang merupakan warisan negara yang telah diperturunkan oleh nenek moyang kita dulu kala dari satu generasi ke satu generasi sehingga kini. Walaubagaimanapun, setiap hasil kraf tersebut mempunyai fungsi tertentu yang dipengaruhi oleh iklim, lokasi, kepercayaan, pekerjaan, bahan keperluan, kemudahan serta hubung kait dengan masyarakat luar seperti alat untuk pertahankan diri; alat untuk bertani, menangkap ikan adan membuat pertukangan; alat untuk kegunaan harian; alat untuk upacara dan istiadat; alat untuk rekreasi; alat muzik untuk persembahan nyanyian, tarian dan pertunjukan; rumah dan istana untuk kediaman dan juga masjid; pengangkutan air; dan juga alat untuk perhiasan.

Definisi Kraf Tradisional

Seni kraftangan adalah hasil seni yang dicipta untuk digunakan, tetapi digubah dengan memasukkan unsur-unsur seni untuk memberi bentuk yang indah dan menarik hati.Penciptaan kraftangan itu memerlukan keahlian dan kecekapan dalam penggunaan bahan-bahan asas yang teratur sejak dari proses awal hinggalah sesuatu hasil kraftangan itu tercipta. Proses penciptaan kraftangan tersebut memerlukan daya estetika demi untuk memberikan rekabentuk yang indah dan menarik.

Menurut sumber yang di perolehi dari Akta 222-Akta perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979, mendefinisikan kraf sebagai; Kraf adalah barangan yang dihasil dengan menggunakan kemahiran tangan, dikeluarkan dengan atau tanpa menggunakan alat atau peralatan mudah yang dijalankan secara persendirian atau tidak langsung oleh pengusaha-pengusaha kraf.

Manakala Keluaran Kraftangan" pula membawa maksud apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan sesebuah kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan.

Kraf tradisional pula merupakan hasil kerja seni yang melibatkan hasil kerja tangan yang memerlukan daya cipta dan kreativiti oleh masyarakat yang dihasilkan secara turun menurun. Seperti membuat tembikar, batik , ukiran tenunan, anyaman, tekat, wau, gasing, perhiasan diri dan sebagainya. Kraf merupakan hasil seni warisan bangsa, peninggalan pusaka nenek moyang suatu ketika dahulu. Hasil ciptaannya kaya dengan unsur-unsur budaya dan ini jelas tercermin melalui bentuk, gaya , sifat,garis, gerak dan warna.Bahan-bahan yang digunakan tidak terhad.

Seni kraf Melayu adalah melambangkan hubungan yang erat antara orang Melayu dengan kepercayaannya iaitu Islam. Kehadiran agama Islam telah mengubah haluan kepercayaan dan pegangan orang-orang Melayu sebelum ini. Mereka telah mengetahui den menyedari tentang keesaan tuhan yang sebenar. Mereka menggangap alam ini sebagai suatu hiasan yang berfungsi untuk menyerikan kehidupan sementera di dunia dan kehidupan kekal di akhirat.Kesedaran inilah lahirnya ciptaan yang berfungsi dan memenuhi keprluan hidup di dunia dan akhirat.

Hasil ciptaan seni kraf Melayu ini jelas menujukkan pengaruh Islam dalam penghasilanya. Ini jelas digambarkan dalam ragam hias atau motif yang dihasilkan.Ianya juga mengambarkan sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakatnya yang menunjukkan ciri-ciri Islam.

Ketiadaan figura manusia dan binatang dalam ragam hias, membuktikan kraf tradisional Melayu adalah melambangkan seni Islam. Unsur-unsur ini adalah diharamkan dalam Islam. Ciri-ciri seni Islam lain diperlihatkan dalam ragam hias seperti penggunaan arabes, motif yang berulang dan unsur geomatri. Subjek daripada flora paling banyak diilhamkan sebagai motif dan ragam hias kraf Melayu seperti rupa daun,bunga dan sebagainya selain itu penggunaan ayat-ayat Al-Quran turut diilham bersama.

Memang tidak pernah terfikir bahawa nenek- moyang dahulu telah memahami dan menghayati seni yang dihasilkan. Nukilan dari deria kreativiti serta bakat semulajadi yang dianugerahkan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Kehalusan dan keunikan keaslian reka bentuk yang diilhamkan melalui idea dari alam semesta ciptaan Tuhan merupakan satu hasil kreatif yang akan menjadi khazanah seni yang tidak ternilai.

Jenis- Jenis Kraf Tradisional

Kraf tradisional perlu dihidupkan dan diperkenalkan dan dihargai oleh generasi muda supaya ia tetap kekal dan mati ditelan zaman. Kraf tradisional seperti batik, ukiran, anyaman,tenunan, tekat, wau, gasing, songket, tembikar dan barang perhiasan mempunyai nilai estetika dan keistimewaan tersendiri.

MOTIF RAGAM HIAS KRAF TRADISIONAL

Ukiran

Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya.

Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu j, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya.

Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pandai kayu. Tiga teknik utama dan gaya di dalam seni ukiran Melayu ialah tebuk terus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran juga ada tiga jenis utama iaitu bujang, lengkap dan pemidang.

Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada rumah-rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada istana-istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang, alat-alat permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi, perabot seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang disebut bangau, alat-alat senjata, peralatan memasak, peralatan pertukangan dan pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda dan kereta lembu.

Motif ukiran kayu secara langsung dipengaruhi unsur-unsur alam sekitar dan cara hidup masyarakat zaman dahulu. Adat resam, kepercayaan, agama, iklim, geografi dan persekitaran amat kuat pengaruhnya kepada pengukir.Terdapat banyak motif ragam hias yang terdapat dalam ukiran. Motif flora terdiri daripada daun,bunga dan tumbuh tumbuhan. Motif Seni Khat pula terdiri daripada ayat-ayat suci Al-Quran. Terdapat juga motif fauna seperti itik pulang petang. Motif Awan Larat, Kosmos seperti matahari,bulan,bintang dan sebagainya juga amat terkenal dengan kraf ukiran.

Terdapat juga ukiran kraf alat untuk mempertahankan diri Contohnya, bentuk bilah keris berluk mesti mempunyai bilangan yang ganjil iaitu luk 3,5,7,9 dan seterusnya. Ini boleh dikaitkan dengan sifat tuhan yang ganjil dan suka kepada yang ganjil. Sebahagian mata keris juga mempunyai tulisan daripada petikan ayat-ayat suci Al-Quran yang melambangkan betapa dekatnya masyarakat Melayu itu dengan ajaran Islam serta kepercayaannya kepada kekuasaan mukjizat tuhan.

Motif Ragam Hias Yang Terdapat Dalam Ukiran.

Motif ragam hias yang terdapat dalam ukiran kayu Melayu adalah seperti berikut :

i. Ukiran flora terdiri daripada daun dan bunga. Daun pula terdiri daripada bayam kukur, bayam perasi, janggut keli, beremi, jari buaya,ketola, ketumbit, kangkung, pucuk kacang, pucuk rebung,pucuk paku, piya, pulut, setulang, selit, ringgit dan lain-lain. Manakala Bunga pula terdiri daripada cempaka, ketumbit, kecubung, kundur, kala bukit, kemunting, kedup, ladu, lawang, pecan, raya, ros, teratai, manggis, tanjung, matahari, cengkih dan lain-lain.

ii. Seni khat terdiri daripada ayat-ayat Al-Quran.

iii. Fauna terdiri daripadaitik pulang petang.

iv. Awan Larat terdiri daripada awan yang bergerak di langit. Awan ini melarat-larat ditiup anginsehingga menghasilkan pelbagai bentuk yang indah.

v. Kosmos terdiri daripada matahari, bulan, bintang, awan, gunung, bukit, logam dan lain-lain.

vi. Geometri terdiri daripada corak berupa corak geometri, unsur lain yang disusun dalam rupa bentuk geometri, huruf-huruf Arab dan tulisan jawi.

Tembikar

Tembikar tradisi Melayu menjadi kesenian yang asli telah wujud di negara ini sejak beribu tahun dahulu. Ragam, bentuk dan ragam hias yang terdapat pada seni tembikar melambangkan keunikan penciptaan tukang pandai Melayu.Tembikaradalah sejenis barangan yang diperbuat daripadatanah liatyang telah diproses, dibentuk dan kemudiannya dibakar bagi mengekalkan rupa bentuk tembikar tersebut.Tembikar yang telah dibakar di dalamtanurmemiliki kekuatan yang lebih dan kalis air. Selain itu tembikar juga dijadikan alat kegunaan harian seperti bekas menyimpan air, balang dan sebagainya.

Terdapat pelbagai jenis tembikar yang dihasil secara turun menurun antaranya buyung, jambangan, geluk, labu dan bekas perasapan.Tembikar yang terkenal ialahlabu yakni alat untuk menyimpan dan menyejukan air minuman. Bentuk labu diilhamkan daripada buah labu. Bahagian pucuk berbentuk seperti kubah masjid. Corak hias labu bersumberkan alam sekeliling dan berupa bentuk geometri. Selain itu juga bentuk labu itu juga berbentu seolah-olah kubah masjid. Labu yang terkenal dihasilkan oleh kaum wanita di Sayong, Perak.

Motif Ragam Hias Yang Terdapat Dalam Tembikar.

Ragam hias merupakan aspek penting dalam tembikar tradisional. Motif yang digunakan terdiri daripada unsur persekitaran tempatan berdasarkan motif geometri dan organik. Motifragam hias berunsurkan geometri terdiri daripada garis, titik dan bentuk-bentuk yang berunsur garis (contohnya susunan garis panjang yang melilit pada seluruh permukaan tembikar dan bersilang antara satu garis dengan garis yanglain) selalunya dijadikan motif tembikar.

Motif Geometri seperti garisan bersilang-seli, titik susun kisi-kisi,titik tahi alat, garis keluh, pucuk rebung,susur kelapa dan sebagainya. Manakala motif Gayaan Organik seperti sulur kakung, bunga cengkih,bunga ,pecah lapan,tampuk manggis,bunga lawang, bunga kedudut, bunga tanjung dan sebagainya.

Anyaman

Anyaman merupakan seni yang mempengaruhi kehidupan dan kebudayaan masyarakat Melayu. Menganyam bermaksud proses menjaringkan atau menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan tumbuh-tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, bilah, pandan, mengkuang dan beberapa bahan tumbuhan lain. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan dan lembut.

Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana.Tidak hairanlan kerana tumbuh-tumbuhan tropika merupakan jenis yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Menganyam merupakan proses menjalin jaluran daun, lidi, rotan, akar, buluh dan beberapa jenis tumbuhan yang lain. Beberapa jenis reka bentuk kraftangan dihasilkan melalui nyaman demi untuk mencipta sesuatu alat keperluan harian contohnya menghasilkan topi, tudung saji, bakul, kampit (bekas belacan), tudung saji, kembal (rombong) dan menganyam tikar untuk mengalas tempat duduk dan sebgainya.

Anyaman berkembang sehingga sekarang, kegunaanya agak terbatas dewasa ini berbanding waktu silam . Ayaman tikar diantaranya, adalah tikar sembahyang dan tikar orang mati yang memperlihatkan unsur Islam.Tikar sembahyang biasanya dianyam menggunakan daun pandan kerana bermutu tinggi berbanding mengkuang.Ini jelas menunjukkan bahasa masyarakat Melayu meletakkan kegunaan tikar sembahyang di kedudukkan teratas sebagai penghormatan semasa menjalankan ibadat.

Anyaman pada tikar sembahyang ini dihiasi dengan motif berunsurkan Islam. Bahagian depan menyerupai kubah masjid, dan bahagian pinggirnya menyerupai gigi buaya sebanyak lima buah yang melambangkan bahwa seorang yang sedang bersembahyang tidak boleh melakukan kegiatan lain ( misalnya berbicara) akan tetapi harus kusyuk seakan-akan orang itu (hatinya) berbicara dengan tuhan.

Terdapat dua ciri-ciri penting dalam ragam hias anyaman, iaitu penciptaan kelarai (motif) dan corak. Istilah kelarai dikhususkan kepada motif yang "berbentuk" (selalunya unsur alam) sementara corak dimaksudkan kepada susunan warna tanpa memperlihatkan kepada susunan warna dan bentuk motif. Anyaman tanpa kelarai disebut sebagai "gadas". Terdapat kira-kira 51 jenis kelarai yang berdasarkan unsur-unsur alam semulajadi seperti unsur-unsur tumbuhan dan binatang.

Di sesetengah tempat kelarai dimaksudkan kepada anyaman yang diperbuat daripada buluh dan digunakan sebagai dinding atau penyekat ruang rumah. Sementara di sesetengah tempat lain anyaman seperti ini diperbuat daripada bahan bertam yang disebut sebagai tupas. Ciptaan kelarai atau tupas lebih kukuh, tegas dan kasar bersesuaian dengan fungsinya sebagai penyekat ruang. Tiada bukti yang jelas untuk menetapkan tarikh bermulanya penciptaan kelarai. Melalui kajian yang dibuat dapat dikatakan bahawa penciptaan kelarai dalam anyaman merupakan satu perlakuan yang telah lama berlaku.

Bunga sulam merupakan satu teknik yang terdapat dalam ragam hias anyaman di mana ia akan mencantikkan lagi hasil yang telah dibentuk. Teknik sulam adalah teknik susun susup. Kesan bentuk bunga yang dibuat lebih merupakan kesan geometri asas seperti susunan bentuk tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya lagi.

Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya. Namun begitu, usaha untuk mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan agar tidak ditelan peredaran zaman. Budaya negara bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan adat resam bangsanya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangan bermutu tinggi. Seni warisan yang unik ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan supaya dapat terus dipelihara dan dimanfaatkan bersama.

Batik

Batik adalah merupakan salah satu kraf tradisional. Batik merupakan kraf tradisional yang unik dan terkenal di Asia atau Gugusan Kepulauan Melayu. Keindahan coraknya mempamerkan kreativiti dan kehalusan seni tekstil yang tinggi.

Perkataan batik berasal dari Indonesia yang membawa maksud rintik-rintik putih yang ada pada kain yang berwarna atau bercorak. Seni batik telah wujud 2000 tahun dahulu di Mesir dan Parsi. Mula digunakan di Jepun dan Chuna dalam abad ke 7. Negeri Kelantan dan Terengganu adalah merupakan perintis kepada sejarah perkembangan perusahaan batik tanah air.Motif batik di Malaysia banyak dipengaruhi oleh alam sekitar. Motif-motif ini terhasil disebabkan kepekaan masyarakat tradisional terhadap persekitaraan. Terdapat beberapa jenis motif alam sekeliling yang digubah menjadi corak atau ragam hias yang menarik.

Unsur flora yang terdiri daripada motif seperti bunga, kudup, putik,akar menjalar, daun, ranting dan pucuk digunakan untuk menghias kain batik ela.Setiap Motif ini mempuyai motif yang tersendiri dihiasi pada kain batik. Contohnya pada kepala kain motif pucuk rebung digunakan selain itu reka corak digubah bukan secara realistik tetapi campuran gaya organik dan geometri.

Unsur fauna seperti motif rama-rama, kumbang, burung, ayam dan sebagainya. Tapi unsur ini kurang digunakan kena berkaitan dengan pegangan agama Islam masyarakat.Unsur geometri seperti susunan garis-garis halus, kisi-kisi, cengkerang, bentuk bujur, jalur dan sebagainya. Unsur ini seringkali digabungankan dengan unsur flora dan mendapat permintaan di kalangan peminat batik.

Motif batik

Motif flora bunga kenanga , cempaka, Daun Siti Fatimah , daun keladi dan lain- lain yang biasanya dijadikan motif pada badan kain. Manakala motif pucuk rebung biasanya dijadikan motif pada kepala kain batik sarong

Motif fauna burung,ayam, siput, kupu-kupu

Motif geometri banji, ceplok, parang rusak, kawung , swastika, pilin berganda s dan lain-lain.

Motif benda wau, wayang kulit dll

Motif abstrak

ANALISIS DAN HURAIAN MOTIF RAGAM HIAS SERTA FUNGSI- FUNGSI MOTIF

Kraf tradisional sangat memberi pengaruh kepada kehidupan masyarakat semenjak dahulu lagi. Hasil seni kraf ini sedikit sebanyak melambangkan sesuatu peradapan dan tamadun serta corak budaya pada sesuatu zaman. Ianya juga melambangkan kebesaran dan kekayaan pada masa tersebut. Hal ini telah dibuktikan dengan adanya atifak-atifak seperti gelang besi, periuk tanah, periuk tembaga dan tembikar yang mempunyai berbagai ukiran serta lakaran yang melambangkan kemegahan zaman tersebut.

Manakala terdapat juga motif yang dipengaruhi oleh agama dan ketemadunan di dalam penghasilannya. Ini terbukti dengan penggunaan ragam hias atau motif keislaman dalam sesuatu penghasilan kraf pada rumah-rumah, tempat ibadat, pakaian, benda dan sebagainya. Kraf tradisional yang amat popular pada masa kini adalah kraf ukiran. Kraf ukiran, sejak zaman berzaman lagi mempunyai pengaruh Islam di dalam penghasilannya. Ini terbukti dengan penggunaan ragam hias atau motif keislaman dalam sesuatu penghasilan kraf pada rumah-rumah, tempat ibadat seperti surau-surau dan masjid-masjid di kampung-kampung. Kraf ukiran sangat terkenal di Negeri Kelantan dan Terengganu.

Kraf ini tidak akan tengelam dek zaman yang berubah, akan tetapi ianya akan bergerak seiringan dengan peredaran zaman yang mana motif dan coraknya lebih menarik serta pelbagai. Terdapat pelbagai motif untuk menghasilkan seni kraf ini di antaranya motif flora, motif fauna, Arabes, motif angkasa atau kosmos, motif geometri dan motif seni khat atau kaligrafi yang menggunakan huruf Arab. Proses penjelmaan idea adalah berunsurkan objek disekeliling mereka seperti bunga teratai, daun keladi, itik pulang petang, motif awan larat yang terdiri daripada bintang, matahari, bulan dan bukit bukau, bentuk bulatan, segitiga serta tulisan ayat Al Quran.

Kebanyakan seni kraf yang dihasilkan oleh orang Melayu adalah melambangkan budaya Melayu itu sendiri yang berlandaskan agama Islam. Rumah-rumah orang Melayu biasanya terdapat ukiran khat pada ambang pintu rumah, tingkap, bingkai cermin, bingkai jam serta alat keagamaan seperti rehal. Semua ini meunjukkan seni keislaman. Selain itu, masjid atau surau juga sering diukir pada kayu dengan ayat-ayat Al Quran kemudian diletakkan di dinding. Selain itu ukiran motif pelbagai diukir pada mimbar masjid atau surau. Manakala bagi seni kraf batik dan anyaman pula, kebiasaannya boleh dilihat pada kain batik yang membawa pelbagai motif daripada persekitaran, seperti pucuk rebung, bunga larik dan bentuk-bentuk bergitu juga dengan seni ayaman.

Hasil seni kraf adalah kebanyakannya berunsurkan motif-motif persekitaran. Mengikut kajian, motif ukiran adalah berlandaskan kepada ajaran kesufian. Misalnya, reka corak bermula pada satu tempat dalam ruang yang hendak diukir, dichanting dan menjalar terus memenuhi ruang. Ini menunjukkan alam ini berasal dari satu kejadian yakni seluruh kehidupan melalui tahap-tahap perkembangannya dan menabur zuriat.

Motif arabes adalah motif yang seringkali dikaitkan dengan seni Islam dan dikatakan mempunyai pengaruh Arab. Ianya merupakan salah satu seni hias yang terdapat pada masjid Hadhari, Jertih. Motif ini mempunyai unsur pola geometri dan pola flora. Motif yang dihasilkan disusun secara berulang-ulang dan mengembang ke semua arah tanpa penghujungnya sehingga tidak terbatas oleh sesuatu bentuk. Konsep ini dikaitkan dengan sifat Allah swt yang tidak terbatas serta tiada penghujungnya.

Unsur kosmos menggambarkan alam semesta seperti matahari terbit, bintang, bulan dan gunung-ganang. Ukiran di atas mempunyai unsur-unsur kosmos terutama bahagian tengahnya sebagai matahari. Manakala ukiran sekelilingnya melambangkan cahaya yang memancar memberi tumbuhan hidup subur. Ini melambangkan kekuasaan dan kebesaran pencipta-Nya kepada hambanya di alam semester.

Unsur flora biasanya diambil daripada tumbuhan yang menjalar. Antara tumbuhan yang paling popular di kalangan pencipta seni kraf ialah jenis kacang, labu, ketubit, ketam guri, salad, bunga lawang, bunga raya, bunga cina dan sebagainya. Unsur ini merupakan unsur yang dominan dalam rekaan seni kraf tradisional. Unsur ini menjadi pilihan utama kebanyakan pengcipta seni ktaf berdasarkan pengamatan dan memerhatian yang telah dibuat.

Hasil ciptaan seni kraf Melayu ini jelas menunjukkan pengaruh Islam di dalam penghasilannya. Ini terbukti dengan penggunaan ragam hias atau motif dalam sesuatu penghasilan kraf. Penggunaan ragam hias dan motif-motif dalam hasil karya ini jelas menunjukkan ciri-ciri keislaman. Tiada rupa figura manusia atau binatang yang sebenarnya digambarkan dalam ragam hias kraf tradisional Melayu. Ketiadaan motif ini dalam ragam hias kraf adalah disebabkan berdasarkan ajaran agama Islam menggambarkan bentuk figura manusia atau binatang yang sebenar adalah tidak dibenarkan atau diharamkan.

Walaupun terdapat juga tukang Melayu menggunakan motif fauna sebagai subjek untuk mendapatkan sumber ilham dalam penghasilan karya mereka tetapi dengan menggunakan daya kreativiti, mereka telah membuat beberapa perubahan, mengubah bentuk tersebut dengan secara stailisasikan hingga bentuk asal fauna itu tidak jelas kelihatan lagi. Tiada gambaran tentang rupa manusia atau binatang sebenar dalam ragam hias, membuktikan bahawa Seni kraf Melayu adalah melambangkan seni Islam. Ciri-ciri seni Islam yang lain itu jelas diperlihatkan dalam ragam hias seperti penggunaan arabes, motif yang berulang dan unsur geometri. Subjek daripada flora yang paling banyak diilhamkan sebagai motif dalam ragam hias kraf Melayu seperti rupa daun, bunga dan sebagainya, di samping penggunaan ayat-ayat daripada Al-Quran dan rupa geometri.

AKTIVITI MASYARAKAT TRADISIONAL BERKAIT DENGAN RAGAM HIAS KRAF TRADISIONAL

Sudah menjadi sifat semulajadi manusia yang sentiasa memikirkan untukmencipta sesuatu bagi kemudahan dirinya. Dari mencipta tembikar berbentuk buyungyang hanya boleh dibawa sebiji dengan cara menggendung ke tempat pembakaran untukdikeraskan, mereka memikirkan bagaimana cara terbaik membawa tembikar lebih darisatu ke tempat pembakaran, maka timbul idea mengikat badan tembikar yang lembab itudengan rotan bertangkai untuk mudah dibawa.

Dari sinilah, cara menghias barang kraf secara tidak sengaja ditemui iaitu ikatan rotan yang terbakar akan meninggalkan kesanjalinan sentuh (permukaan timbul yang boleh disentuh) pada permukaan tembikar tadi.Bermula dari itu proses meluru atau melicinkan permukaan tembikar tidak hanyamenggunakan tangan sahaja tetapi objek-objek keras dari alam semulajadi seperti kayudan batu yang boleh menghasilkan sesuatu permukaan yang lebih indah. Perkembanganmenghias permukaan tembikar ini akhirnya menjadi kemestian kerana ia bukan sahajadapat memperlihatkan estetika tetapi juga dapat mengesatkan lagi permukaan tembikarsupaya tidak licin bila dibawa.

Tukang-tukang kraf tradisional dengan kreatifnya telah menjadikan bahan dari alam semulajadi sebagai ilham untuk mencipta barangan kraf. Mereka dengan hati-hati memilih dan mengkaji setiap bahan supaya sesuai denganjenis kraftangan yang hendak dihasilkan. Ini membantu terciptanya rekabentuk kraf yang sempurna. Objek-objek dari alam semulajadi menjadi pilihan bagi menghasilkan motif yang menjadi unsur utama dalam ragam hias. Ini akhirnya mewujudkan hasil kraftangan yang mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi. Satu hal yang patut disedari ialah bahandari alam sekitar khasnya unsur-unsur dari alam semulajadi merupakanbahan terpenting dalam menghasilkan kraftangan tradisional. Barangan kraf tradisional bukanlah satu benda yang asing bagi rakyat Malaysia.

Pelbagai jenis barangan kraf telah dihasilkan oleh nenek-moyang terdahulu dalam masyarakat Melayu; di antaranya ialah anyaman, batik, tembikar, ukiran, tekat dan tenunan songket. Penemuan para ahli arkeologi tentang tembikar primitif di Ulu Tembeling Pahang membuktikan bahawa perusahaan kraf telah wujud sejak zaman purba lagi. Kraf-kraf lain juga wujud dengan sejarahnya yang tersendiri. Di samping itu, elemen alam semulajadi dijadikan sebagai motif asas dalam menghiasi permukaan barangan kraf. Motif-motif dari alam semulajadi ini bukan sahaja menampakkan kecantikan pada sesuatu barangan kraf malah ia juga mengandungi falsafah tersendiri di sebaliknya khasnya mengenai pengajaran moral yang secara visualnya dapat mendidik masyarakat pada ketika itu.

Penyelidikan ini membuktikan bahawa objek dari alam semulajadi telah dieksploitasi dalam rekaan kraf tradisional. Ini dapatdilihat dengan wujudnya motif-motif flora dan fauna dalam pelbagai jeniskraftangan yang berkait dengan kehidupan sebuah masyarakat tradisionalyang tidak dapat dipisahkan dengan alam sekitar. Bahagian-bahagian utama tumbuhan seperti bunga, pucuk, buah, biji, sulur, akar dan tampukmenjadi motif asas untuk menghasilkan corak. Begitu juga denganpemilihan motif fauna dan motif kosmos (yang berkaitan dengan cakerawala) juga menjadi perhatian tukang-tukang kraf tradisional. Pemilihan jenis-jenis motif ini adalah berdasarkan kepada hubungan rapat antara cara kehidupan harian orang Melayu dengan alam sekitar mereka. Mereka menjadikan alam sekitar sebagai bahan asas keperluan hidup mereka tidak kira dalam pemakanan, perubatan, adat resam, kesenian,pakaian, pendidikan, pertanian, perdagangan dan kepercayaan.

KESIMPULAN

Sudah menjadi lumrah setiap insan sukakan sesuatu yang indah dan cantik. Setiap insan juga secara tidak disedari mempunyai deria untuk memilih dan tidak pernah pula sesuatu yang dipilih itu tidak cantik. Sesuatu yang indah itu mempunyai seni yang tersendiri dan seni yang paling indah ialah hanya yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. dan kita, tanpa disedari memang diselubungi oleh seni yang indah itu dalam kehidupan seharian kita.

Memang tidak pernah terfikir oleh kita bahawa nenek moyang kita dahulu telah memahami dan menghayati seni yang dihasilkan oleh mereka ternukil dari deria kreativiti serta bakat semulajadi yang dianugerahkan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Kehalusan dan keunikan keaslian reka bentuk yang diilhamkan melalui idea dari alam semesta ciptaan Tuhan merupakan satu hasil kreatif yang akan menjadi khazanah seni yang tidak ternilai.

Keaslian pereka bentuk istimewa ini tidak dapat dinilai harganya secara khusus. Cetusan ide yang diluahkan terus menjadi satu visual yang sungguh ekspresif dan unik hinggakan ianya menjadi satu bahan komoditi seni yang berharga.

Kehalusan reka bentuk dan buatan kain songket bukan sahaja melambangkan kekayaan khazanah seni tekstil Melayu tradisional, malah ianya adalah sebagai satu penggerak idea dan pemangkin kepada pereka-pereka tekstil generasi kini, khususnya pelajar-pelajar yang sedang mendalami selok-belok seni ini.

Kraft tangan melambangkan jati diri rakyat Malaysia .Kraf tangan masyarakat peribumi ini adalah dihasilkan berdasarkan alam persekitaran mereka yang berkaitan dengan alam Melayu. Sumber proses pembuatan juga mudah didapati di persekitaranya. Namun keunikan yang terserlah ialah pemikiran kreatif mereka dalam dalam mengolah dan mengubah barangan dan objek yang memperlihatkan aspek budaya, estetika dan fungsi kraf tradisional Melayu mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Kraf tradisional adalah merupakan warisan bangsa, pusaka peninggalan nenek moyang kita satu masa dahulu. Hasil ciptaan kraf tradisional, kaya dengan unsur-unsur budaya dan unsur-unsur keislaman jelas tercermin melalui bentuk, gaya, sifat, garis, bentuk dan warnanya.

Terdapat beberapa kepentingan mengenali kraf tradisional antaranya mempelajari teknik membuat produk iaitu teknik tersendiri yang digunakan bagi tiap-tiap kraf,sebagai contoh kraf tembikar menggunakan teknik picitan diikuti kepingan dan seterusnya lingkaran pada tanah liat bagi membentuk objek.

Selain itu, memahami dan mengenali bahan-bahan semula jadi yang digunakan dalam menghasilkan kraf yang berkaitan sebagai contoh kraf anyaman menggunakan daun pandan atau mengkuang bagi menghasilkan objek.

Seterusnya, mengetahui setiap nama pada corak ragam hias kraf tradisional yang berbeza-beza sebagai contoh motif tapak harimau dalam kraf anyaman.

Di Malaysia motif-motif lama yang dianggap pra-Islam telah diberikan makna baru bersesuaian dengan ketauhidan dalam Islam. Elemen pepatungan boleh dikatakan ditolak sama sekali dalam apa jua kesenian (termasuk batik dan songket). Sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia terhadap elemen pepatungan adalah amat tinggi sehinggakan cubaan memasukkan unsur-unsur figuratif dalam bentuk khat sekalipun pada era 60an dan 70an tidak bertahan lama dan tidak dapat diterima oleh masyarakat Melayu Islam.

Keunikan dan kehalusan hasilan karya seni ukiran Melayu membuktikan ketinggian nilai estetiknya. Namun begitu faktor modenisasi, faktor cuaca dan faktor masa menjadi ancaman terhadap penerusan hayat dan pelestariannya. Faktor-faktor tersebut menjadi antara penyebab kepada semakin terhakisnya kepedulian, penghayatan dan apresiasi terhadap keunikan karya kesenian tradisi ini. Namun begitu bagi peminat-peminat seni kraf ia melambangkan satu kepuasan dan kemewahan jika dapat memilikinya. Sesuatu yang eksklusif yang sukar untuk dirungkaikan.

Justeru itulah sebagai rumpun Melayu kita perlu menjaga, memelihara dan menyayangi seni Kraf Tradisional kita seperti seni ukiran, seni tenunan, anyaman, pembuatan wau, gasing dan batik yang tidak ada di negara-negara lain. Kraf Tradisional kita di sanjung dan di pandang tinggi di mata dunia setaraf dengan kraf-kraf Negara Barat. Seharusnya kita patut menanamkan rasa cintakan seni tradisional di kalangan generasi baru agar seni ini tidak terpupus. Bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

RUJUKAN

Abd. Aziz Deraman, (1977). Islam dan Kebudayaan Melayu, Kuala .Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.

Kementerian Pelajaran Malaysia.(1998). Buku sumber guru Pendidikan Seni Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &Pustaka.

Khairuddin Talib, (2007) .HBAE3103 Kraf Tradisional.Selangor:

Meteor Doc.Sdn.Bhd.

Mana Sikana (1966).Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &Pustaka.

Prof. Madya Dr. Mohd Sabrizaa,Penafsiran Falsafah ibu Dalam Awan

Larat Warisan Estetikka Seni Ukiran Melayu, Jabatan Senibina Dalaman Fakulti senibina, Perancangan dan Ukur UITM Perak.

Othman Yatim (1989) Warisan Kesenian Dalam Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zailani Yaacob & Azimah A.Samah, (2011).Teks Lengkap Pendidikan Seni Visual KBSM Tingkatan 4&5. Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Zulkifli Hanafi, (2000). Pola-pola hiasan di dalam Bangunan Tradisi melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://www.kraftangan.gov.my

http://members.tripod.com/kraftangan_anc/definisi.htm

http://www.slideshare.net/fairuzdavinci/mengenal-kraftangan-tradisional

0