Family Language Policy: Ideology, Practices and Impact of ...
Transcript of Family Language Policy: Ideology, Practices and Impact of ...
1
Family Language Policy: Ideology, Practices and Impact of the
Malay Language as Mother Tongue in Singapore
Ariff Rizwan Bin Mohammed Eusoff Sahab
Malay Language Teacher, Ministry of Education
Abstract: This paper reports on a study that explores the Family Language Policy (FLP) of 20
Malay families. This research aims to examine Malay parents' language ideology vis-a-vis
language practice at home. The findings from this research show that there is a declining shift
in the usage of Malay language between interlocutors from the different generation. Although
the language shift exists, Malay and English are the preferred language practice at home with
Malay being the dominant language. This posits the claim that the Malay language as mother
tongue in Singapore remains relevant. This research also proves that family language
planning exists among Malay families. This family language planning is driven by many factors
with socioeconomic factors being the key in shaping Malay families language ideology. Other
than the economic value, Malay language as a compulsory subject in school helps to shaped
Malay parents’ ideology that the Malay language is still important and relevant.
Keywords: language ideology, language practices, family language planning
Polisi Bahasa Keluarga (FLP): Amalan, Ideologi dan Impak
Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ibunda Di Singapura
Ariff Rizwan Bin Mohammed Eusoff Sahab
Guru Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan (MOE)
Abstrak: Kajian polisi bahasa keluarga (FLP) telah dilakukan ke atas dua puluh keluarga
Melayu Singapura untuk melihat amalan serta ideologi bahasa mereka. Hasil dapatan kajian
menujukkan bahawa amalan bahasa responden dalam kajian ini bersama interlocutor tiga
generasi menunjukkan corak penggunaan BM yang semakin meruncing. Walaupun
penggunaan BM meruncing, hasil dapatan membuktikan bahawa BM dominan masih lagi
menjadi amalan bahasa keluarga orang Melayu Singapura. Ini membuktikan bahawa status
BM sebagai bahasa Ibunda di Singapura kekal releven sehingga ke saat ini. Kajian FLP ini
turut membuktikan bahawa wujudnya perancangan bahasa yang disengajakan dalam
masyarakat Melayu. Perancangan ini didorongi oleh kerencaman faktor yang menjadikan
sesuatu bahasa itu dianggap penting. Dalam kerencaman faktor tersebut, hasil
penganalisisan menampakkan bahawa nilai ekonomi yang dibawa dalam bahasa terbukti
menjadi pegangan ideologi utama dalam menentukan polisi bahasa keluarga. Selain menilai
bahasa melalui lensa sosioekonominya, hasil kajian turut membuktikan bahawa dasar
pemerintah memainkan peranan utama dalam membentuk ideologi bahasa orang Melayu.
Polisi pendidikan yang mewajibkan subjek BM di sekolah merupakan antara faktor terpenting
dalam memastikan BM kekal revelen sebagai polisi bahasa dalam keluarga.
Kata Kunci: ideologi bahasa, amalan bahasa, perancangan bahasa keluarga
2
PENGENALAN
Status dan fungsi BI telah meningkat dalam bidang pentadbiran, pekerjaan dan pendidikan
khususnya selepas Singapura berpisah dengan Malaysia pada tahun 1965. Semenjak
perpisahan, usaha-usaha untuk menggalakkan penguasaan BI kian terasa sehinggakan pada
tahun 1987, tertutupnya sekolah Melayu di Singapura kerana ramai ibu bapa mula
menghantar anak mereka ke sekolah aliran arus utama yang menggunakan BI sebagai
bahasa pengantar. Jelasnnya, prestij BI yang begitu tinggi telah menyebabkan berlakunya
satu peralihan dalam amalan bahasa keluarga Melayu di Singapura.
Kepentingan BI lebih kian terasa oleh masyarakat Melayu Singapura pada dewasa ini.
Ini menyebabkan ramai orang Melayu mula menggunakan BI sebagai amalan bahasa
keluarga mereka. Misalnya, laporan Kementerian Pendidikan (MOE, 2010) turut membuktikan
wujudnya peralihan bahasa di kalangan orang Melayu dengan peningakatan penggunaan BI
dan BI dominan di rumah.
Peralihan bahasa dalam keluarga ini membuktikan bahawa wujudnya polisi bahasa
tertentu yang terukir dalam keluarga Melayu Singapura. Dalam hujah yang sama, sudah pasti
juga wujud perancangan bahasa yang disengajakan untuk menetapkan penggunaan satu-
satu bahasa. Isu perancangan bahasa ini pernah ditimbulkan oleh Roksana Bibi Abdullah
(2013) yang menghuraikan bahawa wujudnya dilema dan kekhuatiran dalam diri ibu bapa,
yakni jikalau BI tidak menjadi amalan bahasa keluarga, wujud kemungkinan anak mereka
akan ketinggalan dalam pendidikan.
Pernyataan di atas ini meyakinkan pengkaji bahawa wujudnya ideologi-ideologi
tertentu yang dipengang oleh keluarga Melayu Singapura dalam menentukan polisi bahasa
keluarga mereka. Oleh sebab ibu bapa memainkan peranan utama dalam penglestarian
bahasa ibunda (Spolsky, 2012), pengkaji turut yakin bahawa penelitian terhadap polisi bahasa
keluarga dapat membuktikan apakah amalan serta ideologi bahasa yang membentuk
penggunaan bahasa orang Melayu serta sejauhmanakah amalan dan ideologi bahasa
tersebut memberikan impak terhadap BM sebagai bahasa Ibunda di Singapura.
LATARBELAKANG KAJIAN
2.1 Fokus, Skop dan Keterbatasan Kajian
Fokus dan skop kajian adalah melihat apakah faktor-faktor yang membentuk ideologi bahasa
serta bagaimana ideologi bahasa tersebut membentuk polisi bahasa dalam keluarga.
Keterbatasan kajian adalah pengkaji tidak berjaya untuk mendapatkan jumlah
responden yang representatif. Sebaliknya, pengkaji hanya mendapatkan 20 responden
kerana ramai responden tidak sanggup melakukan borang soal selidik yang mengambil masa
yang lama untuk dilengkapkan.
2.2 Soalan kajan
Soalan kajian terbahagi kepada tiga:
(1) Apakah FLP masyarakat Melayu Singapura?
(2) Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi FLP tersebut?
(3) Apakah implikasi FLP terhadap masa depan Bahasa Melayu di Singapura?
3
2.3 Kepentingan Kajian
Kajian FLP ini penting bagi tujuan untuk merungkai amalan bahasa yang digunakan oleh ibu
bapa di rumah bersama anak mereka. Melalui kajian FLP jugalah dapat dilihat serta diteliti
akan faktor utama yang menyumbang kepada pemilihan bentuk FLP tertentu. Juga, melalui
kajian ini yang melihat amalan serta ideologi bahasa yang dipegang ibu bapa, implikasi
terhadap status BM sebagai bahasa Ibunda di Singapura juga dapat dirungkai.
KERANGKA TEORI
3.1 Polisi Bahasa Keluarga (FLP)
Polisi Bahasa Keluarga atau Family Language Policy (FLP) merupakan satu bidang kajian
yang penting dalam melihat bagaimana sesuatu bahasa itu disebarkan dari satu generasi ke
generasi yang lain. Curdt-Christiansen (2014) mentakrifkan FLP sebagai sebagai
perancangan yang disengajakan berhubung dengan penggunaan bahasa serta amalan
literasi di dalam rumah. Oleh itu, berdasarkan pentarifan sedemikian, wujud perancangan
bahasa yang disengajakan oleh ibu bapa dalam menentukan corak amalan bahasa mereka.
Tambahan Caldas (2012) pula, realiti sosiolinguistik tentang FLP adalah ianya berada dalam
satu pisahan kontinum, yakni perancangan bahasa dalam keluarga boleh wujud dengan
sengaja dan dijalankan dalam keluarga secara sedar ataupun perancangan itu tidak kelihatan,
seolah-olah tidak wujud atau besifat laissez faire dalam keluarga.
Grafik 1 Konseptualisasi Curdt-Christiansen (2014) terhadap Polisi Bahasa Keluarga (FLP)
Menurut Spolsky (2004; dalam Curdt-Christiansen, 2014), dalam konseptualisasi FLP, wujud
empat faktor utama yang membentuk ideologi sesuatu bahasa iaitu faktor kuasa SP, SE, SL
dan SB. Faktor SP merujuk kepada kuasa yang berautoriti, iaitu kuasa politik atau pemerintah.
Seperti contoh, kuasa yang menentukan polisi bahasa dalam pendidikan. Faktor
sosioekonomi SE merujuk pada nilai instrumental sesuatu bahasa tersebut. Seperti contoh,
bahasa Mandarin yang dianggap mempunyai nilai ekonomi disebabkan negara China yang
membangun dengan pesat dalam aspek perdagangan (Cavalaro & Serwe, 2010). Faktor SL
pula merujuk kepada fungsi bahasa dengan masyarakat (Nababan, 1993) dan SB pula
merujuk kepada nilai simbolik yang dibawa dalam bahasa tersebut (Curdt-Christiansen,
4
2014). Konseptualisasi FLP juga menunjukkan bagaimana faktor-faktor ini saling
mempengaruhi.
Menrut Fishman (2003, dalam Curdt-Christiansen, 2014), tujuan kajian FLP juga dapat
melihat apakah faktor-faktor yang membentuk ideologi bahasa ibu bapa yang kemudiannya
membentuk corak amalan bahasa dalam sesebuah keluarga.
3.1.1 Amalan & Pengurusan Bahasa
Curdt-Christiansen (2014) mentakrifkan amalan bahasa keluarga sebagai corak bahasa yang
boleh diramal yang membentuk penggunaan bahasa terkini penutur tersebut atau disebut
sebagai bahasa de facto seseorang. Ini juga selari dengan pandangan Schwartz (2010),
bahawa amalan bahasa keluarga merujuk kepada corak pemilihan dan penggunaan bahasa
dalam sesebuah keluarga dalam konteks yang berbeza-beza. Dengan melihat pada amalan
bahasa keluarga, ianya dapat memberi gambaran kepada perbezaan penggunaan bahasa
yang wujud dalam interaksi antara satu generasi dengan generasi yang lain dalam sesebuah
keluarga.
3.1.2 Ideologi Bahasa
Curdt-Christiansen (2014), mentakrifkan ideologi bahasa sebagai persepsi ibu bapa tentang
sesuatu bahasa. Menurut beliau lagi, persepsi terhadap bahasa terbahagi kepada nilai, kuasa
serta fungsi sesuatu bahasa. Tambahan daripada itu, pengkaji King, Fogle dan Logan-Terry
(2008) berpendapat bahawa ideologi bahasa yang dipegang ibu bapa adalah perkara utama
yang membentuk amalan bahasa dalam keluarga.
Ideologi dalam sesuatu bahasa jelasnnya mempunyai nilai simbolik dan praktikal yang
mana nilai-nilai inilah yang akan membentuk amalan bahasa dalam sesebuah keluarga.
Menurut King dan Fogle, (2013) ibu bapa seringkali mempunyai idea yang jelas akan bahasa
apakah yang harus digunakan bersama anak untuk mencapai tujuan tertentu. Tambahan De
Houwer (1999) pula, ideologi bahasa ibu bapa jelasnnya akan memberi impak terhadap
amalan linguistik dalam keluarga yang mempunyai penguasaan dwibahasa.
SOROTAN LITERATUR
Kajian terhadap FLP di Singapura amat terhad. Hanya Curdt-Christiansen (2014) sahaja yang
melakukan kajian yang khusus dalam bidang FLP. Namun, kajiannya hanyalah dilakukan
bersama 20 buah keluarga Cina di Singapura. Walaupun sedemikian, wujud juga usaha
beliau dalam mengkaji FLP masyarakat India dan Melayu di Singapura. Namun, kajian yang
dilakukan Curdt-Christiansen (2013) ini bukanlah satu kajian yang menyeluruh tetapi kajian
skala kecil yang hanya melihat FLP sebuah keluarga Melayu.
Walaupun kajian FLP dalam konteks Singapura amat terhad, terdapat beberapa kajian
FLP sudah dilakukan di peringkat antarabangsa (Luykx, 2005; Caldas, 2006; Guardado, 2008;
Schwartz, 2008, 2010; Schwartz dan Moin, 2011; Smith-Christmas, 2014; Altman et al., 2014
dan Moore, 2016). Malah, wujud juga kajian FLP yang dilakukan di peringkat doktor falsafah
(Chen, 2011, Tannenbaum, 2012; Revis, 2015, Chen, 2016 dan Dogan, 2017). Tidak dapat
dinafikan bahawa kajian FLP sudah mula mendapat tempat dalam dunia akademik. Antara
beberapa hasil kajian FLP yang dilakukan adalah seperti berikut:
Smolicz, Secombe dan Hudson (2001) yang merumuskan keluarga Greece di
Australia mewariskan bahasa Greek kepada anak-anak kerana menganggap bahasa itu dapat
menjalinkan ikatan kekeluargaan.
5
Caldas (2006) melaporkan ibu bapa Cajun di Louisiana tidak mewariskan bahasa
Perancis kepada anak-anak mereka kerana "...to spare them the social humiliation that the
parents had been subjected."
Curdt-Christiansen (2009) merungkaikan bahawa ibu bapa Cina di Montreal, Kanada
mewariskan bahasa Cina kepada anak-anak kerana melihat bahasa Cina mempunyai kuasa
ekonomi.
Guardado (2008) yang mengkaji keluarga Hispanic di Kanada pula menekankan
bahawa bahasa Sepanyol diangkat sebagai bahasa keluarga disebabkan bahasa itu dikaitkan
dengan budaya dan sejarah keturunan mereka.
Bagi kajian terkini, Moore (2016) dalam kajiannya merumuskan bahawa FLP kanak-
kanak Fula di Cameroon mengamalkan tiga bahasa, iaitu bahasa Fula di rumah, bahasa Arab
di sekolah agama dan bahasa Perancis di sekolah aliran arus utama.
Ini menunjukkan bahasa setiap kelompok masyarakat mempunyai FLP yang berbeza-
beza. Bahagian seterusnya merupakan metodologi kajian yang digunakan oleh pengkaji untuk
merungkai amalan dan ideologi FLP masyarakat Melayu Singapura.
METODOLOGI
5.1 Keadah Kajian
Pengkaji menggunakan kaedah soal selidik yang dimuatnaikkan di Google Form. Pautan
Google Form kemudiannya diberikan kepada responden. Secara keseluruhan, terdapat 211
item soalan yang bersifat tertutup yang diajukan kepada responden. Soalan-soalan kajian ini
terbahagi kepada 4 bahagian utama, iaitu pengumpulan latar belakang, amalan dan
pengurusan bahasa, ideologi bahasa dan sikap terhadap perancangan bahasa dalam
keluarga.
Susulan daripada borang soal selidik, pengkaji turut melakukan temu bual bersama
responden dengan tujuan untuk mendapatkan pejelasan lanjut. Kaedah temu bual dilakukan
melalui rangkaian perisian mesej 'Whatsapp' dan kedua melalui temu bual secara bersemuka.
Terkahir sekali, kaedah lawatan ke rumah dilakukan supaya pengkaji dalam menilai
sendiri hasil jawapan yang diberikan dalam soal selidik selari dengan amalan bahasa yang
digunakan di rumah.
5.2 Kaedah Pemilihan Responden
Kaedah pemilihan golongan responden sudah ditetapkan oleh pengkaji, yakni golongan ibu
bapa dalam lingkungan umur 21-39 tahun dan sekurang-kurangnya mempunyai seorang
anak. Secara keseluruhan, pengkaji berjaya mendapatkan 20 responden melalui rangkaian
sosial pengkaji yang kemudiannya disebarkan melalui lisan oleh responden. Daripada 20
responden tersebut, hanya 3 orang sahaja yang bersetuju untuk ditemu bual dan hanya
seorang sahaja yang bersetuju untuk dilakukan pemantauan ke rumah.
5.3 Kaedah Penganalisisan Kajian
Dalam analisis kajian, pengujian T dilakukan untuk menguji sama ada wujudnya perbezaan
keberkesanan antara dua sampel min. Dua kumpulan yang dikenalpasti bagi penganalisisan
kajian adalah kumpulan yang menggunakan BM/BM dan BI/BID bersama anak. Angka min
yang melebihi 2.50 menunjukkan responden bersetuju dengan pernyataan yang diberikan.
6
Batas kemaknaan yang digunakan sama ada untuk menolak atau tidak hipotesis nul
ditentukan pada angka P < 0.05. Angka P yang kurang dari 0.05 menunjukkan wujudnya
perbezaan keberkesanan antara kedua-dua kumpulan tersebut. Format laporan statistik
dalam kajian ini ditetapkan dalam format berikut, t(df) = t-statistic, P < 0.05.
PENGANALISISAN DAN DAPATAN KAJIAN
Penganalisisan dan dapatan kajian terbahagi kepada tiga bahagian, (6.1) amalan bahasa,
(6.2) ideologi bahasa dan (6.3) dapencapaian gred tertinggi bahasa.
6.1 AMALAN BAHASA RESPONDEN
Bahagian ini akan melaporkan amalan bahasa responden bersama tiga generasi, amalan
bahasa responden dan pasangan bersama anak dan amalan bahasa anak bersama
responden dan pasangan. Akronim BM dan BI dalam Rajah 1 merujuk kepada penggunaan
Bahasa Melayu sepenuhnya dan Bahasa Inggeris sepenuhnya, BMD dan BID pula merujuk
kepada Bahasa Melayu dominan dan Bahasa Inggeris dominan.
6.1.1 Amalan Bahasa Responden Bersama Interlocutor Tiga Generasi
Amalan bahasa responden bersama interlocutor tiga generasi membuktikan bahawa BM/BMD
masih lagi menjadi amalan bahasa majoriti responden. Pada masa yang sama, walaupun
BM/BMD menjadi amalan bahasa, wujud peralihan bahasa, iaitu penggunaan BI lebih
mendapat tempat antara interlocutor ketiga-tiga generasi.
Rajah 1 dibawah ini merupakan peratusan penggunaan bahasa responden bersama
interlocutor tiga generasi. Secara keseluruhan, 71% daripada responden menggunakan
BM/BMD bersama interlocutor ketiga-tiga generasi. Perincian bagi setiap peratusan dalam
setiap generasi boleh dilihat dalam Rajah A - D di bahagian lampiran.
Rajah 1 Peratusan penggunaan bahasa responden bersama interlocutor tiga generasi.
Amalan bahasa responden bersama interlocutor generasi yang lebih tua adalah BM/BMD.
Seperti tergambar dalam Rajah 1, hampir 100% menggunakan BM/BMD bersama interlocutor
yang lebih tua seperti ibu/bapa, datuk/nenek dan pakcik/makcik. Dua dapatan menarik yang
wajar dibincangkan adalah, pertama, 70% daripada responden menggunakan BM
sepenuhnya dan kedua, tidak ada seorang pun responden yang menggunakan BI
sepenuhnya besama interlocutor yang lebih tua.
Pada pandangan pengkaji, penguasaan bahasa memainkan peranan penting dalam
menjelaskan corak amalan bahasa responden bersama interlocutor generasi yang lebih tua.
Penguasaan bahasa generasi yang lebih tua adalah rata-ratanya menguasai BM berbanding
BI. Ini mungkin disebabkan generasi ini yang membesar dalam tahun 1970-1980an hidup
dalam suasana landskap sosiolinguistik yang mana BM adalah lingua franca zaman itu. Pada
masa yang sama, wujud kemungkinan generasi ini juga melalui sistem pendidikan di sekolah
Melayu kerana pada zaman tersebut, sekolah Melayu masih lagi wujud di Singapura. Maka
itu, tidak mustahillah generasi ini bukan sahaja menguasai BM tetapi lebih selesa untuk
7
menggunakan bahasa tersebut dalam komunikasi seharian mereka. Satu perkara yang
menarik juga adalah, walaupun sistem dwibahasa sudah mula diperkenalkan sebagai dasar
pendidikan di Singapura seawal tahun 1960an, tidak ada seorang interkolutor generasi yang
lebih tua menggunakan BI sahaja besama responden. Ini menunjukkan bahawa walaupun
sistem dwibahasa sudah diperkenalkan pada zaman tersebut, BM tetap menjadi bahasa yang
dikuasai oleh generasi ini. Disebabkan generasi ini menguasai BM berbanding BI, dapat
diandaikan juga bahawa BM adalah satu-satunya bahasa yang diwariskan kepada responden.
Maka itu, ianya membentuk amalan bahasa responden yang lebih menggunakan BM bersama
interlocutor generasi ini.
Corak amalan bahasa responden bersama generasi sebaya pula berbeza dengan
generasi yang lebih tua. Ini kerana wujudnya penurunan dari segi penggunaan BM
sepenuhnya. Seperti contoh, merujuk pada Rajah 1, penggunaan BM sepenuhnya antara
generasi yang lebih tua dan generasi sebaya turun sebanyak 45%. Penurunan penggunaan
BM sepenuhnya ini membuktikan bahawa wujud penggunaan bahasa yang berbentuk
campuran BM dan BI. Penggunaan bahasa campuran ini lebih terkesan dalam amalan bahasa
responden bersama interlocutor rakan sekolah menengah, iaitu 55% daripada responden
menggunakan BI/BID bersama rakan sekolah menengah mereka (rujuk Rajah B dalam
lampiran). Hasil dapatan kajian juga turut membuktikan bahawa bentuk bahasa campuran BM
dan BI inilah yang paling digemari oleh responden untuk digunakan bersama interlocutor
generasi sebaya.
Menurut kepada alasan pemilihan bentuk bahasa campuran sedemikian, pengakaji
berpandangan bahawa sistem pendidikan yang dilalui oleh responden memainkan peranan
penting dalam mencorak amalan bahasa mereka. Profil responden dalam kajian ini adalah
mereka meraih pendidikan dalam tahun 1980-1990an yang mana landskap sosiolinguistik
pada zaman ini berbeza dengan zaman sebelumnya, yakni pada zaman ini, penguasaan BI
lebih diberikan kepentingan dan keutamaan. Misalnya, pada tahun 1982, Perdana Menteri
Lee Kuan Yew menggesa ibu bapa Melayu untuk meningkatkan penguasaan BI anak-anak
mereka (Dixon, 2005). Suasana sosiolinguistik yang mementingkan penguasaan BI ini lebih
jelas lagi apabila penutupan sekolah Melayu pada tahun 1987 berlaku di Singapura. Seperti
yang dilaporkan oleh Kamsiah Abdullah (2000), semenjak tahun 1987, semua murid-murid
Melayu kecuali mereka yang bersekolah di madrasah swasta, belajar dalam aliran nasional
yang mana BI menjadi bahasa pengatar bagi semua subjek kecuali pengajaran bahasa
ibunda. Oleh sebab responden melalui sistem pendidikan sedemikian, ia menyebabkan
generasi ini mempunyai penguasaan dalam bahasa BI. Disebakan mereka menguasai
bahasa BI, mereka mula menggunakannya dengan rakan sebaya. Inilah antara sebab-sebab
yang mencorak amalan bahasa responden yang menggunakan bentuk bahasa campuran BM
dan BI bersama interlocutor rakan sebaya.
Amalan bahasa responden bersama interlocutor generasi lebih muda pula sudah
menampakkan penggunaan BI yang lebih ketara. Seperti tergambar dalam Rajah 1, 49%
daripada responden menggunakan BI/BID bersama interlocutor generasi yang lebih muda.
Tambahan daripada itu, 55% daripada responden menggunakan BI/BID bersama anak
saudara (rujuk Rajah C dalam lampiran).
Untuk menjelaskan corak amalan bahasa responden yang lebih menggunakan BI
bersama interlocutor generasi yang lebih muda, pengkaji berpandangan bahawa keselesaan
penggunaan bahasa generasi yang lebih muda inilah yang mempengaruhi penggunaan
bahasa responden. Generasi muda hari ini hidup dalam zaman yang mana BI dianggap
sangat penting kerana penguasaan dalam BI dapat memberi akses kepada sekolah yang baik,
pendidikan yang tinggi dan pekerjaan yang bergaji tinggi (Curdt-Christiansen & Sun, 2016).
8
Oleh sebab BI dianggap penting, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada penggunaan
BI melalui media massa dan pusat didikan kanak-kanak yang lebih menggunakan BI yang
sekaligus membuktikan wujudnya kejatuhan dalam penggunaan BM. Pernyataan kejatuhan
penggunaan BM ini dikuatkan lagi dengan hasil dapatan kajian Roksana Bibi Abdullah (2003:
289-290) yang turut memberikan beberapa alasan akan punca kejatuhan tersebut seperti
contoh faktor rangkaian sosial penutur tersebut. Dalam konteks kajian ini, dapat juga
diandaikan bahawa rangkaian sosial generasi muda ini bukan sahaja lebih terdedah kepada
penggunaan BI malahan lebih selesa untuk menggunakan bahasa tersebut. Atas sebab
demikianlah amalan bahasa responden 'terpaksa' mengikut keselesaan interlocutor generasi
muda yang menyebabkan lebih ramai daripada responden yang menggunakan BI/BID
bersama mereka.
Dalam membuat satu rumusan awal terhadap amalan bahasa responden bersama
interlocutor tiga generasi, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa walaupun terdapat
kerencaman penggunaan bahasa, rata-rata penggunaan BM masih dipilih apabila bertutur
dengan generasi yang lebih tua.
6.1.2 Amalan Bahasa Responden Dan Pasangan Bersama Anak & Amalan Bahasa Anak
Bersama Responden Dan Pasangan
Selepas melihat amalan bahasa responden bersama interlocutor tiga generasi, kajian ini
seterusnya melihat amalan bahasa responden, pasangan dan anak dalam pelbagai situasi
dan konteks penggunaan. Soalan-soalan ini kemudiannya dianalisis mengikut tiga kelompok,
iaitu situasi santai, serius dan emosi yang diadaptasi dari kajian Roksana Bibi Abdullah (2003:
120-212). yang kemudiannya disesuaikan bagi kajian ini. Perincian peratusan bagi setiap
soalan boleh dirujuk pada Rajah E - J di bahagian lampiran. Rajah 2 di bahagian ini merujuk
kepada penggunaan bahasa responden dan penggunaan bahasa secara keseluruhan.
Rajah 2 Peratusan penggunaan bahasa responden dan penggunaan bahasa secara
keseluruhan.
Analisis terhadap amalan bahasa responden dan pasangan bersama anak mengukuhkan lagi
hasil dapatan bahawa BM masih lagi dipilih apabila responden dan pasangan bertutur dengan
anak. Malahan, dapatan yang paling menarik adalah penggunaan bahasa dalam situasi emosi
tidak dirancang tetapi sebaliknya mengikut naluri penuturnya. Ini dapat dilihat dalam Rajah 2,
yakni wujudnya perbezaan penggunaan bahasa responden dalam konteks mengucapkan
kasih sayang dan memarahi anak.
Untuk penjelaskan corak penggunaan BI sepenuhnya dalam konteks mengucapkan
kasih sayang, pengkaji berpendapat bahawa penggunaan bahasa dalam mengungkapkan
cinta dengan pasangan memainkan peranan utama dalam mempengaruhi penggunaan
bahasa responden. Pernyataan ini dikuatkan lagi dengan hasil dapatan temu bual bersama
9
R1 yang mengatakan bahawa beliau secara semula jadi lebih selesa menggunakan ungkapan
BI seperti contoh 'I love you' bersama isteri berbanding BM. Juga, mesej dan nota cinta zaman
percintaan beliau bersama isteri juga menggunakan BI. Oleh itu, menurut beliau, apabila
sudah mempunyai anak, ungkapan kasih sayang dengan anak juga diucapkan dalam BI
sepenuhnya. Contoh ungkapan yang digunakan oleh R1 adalah, 'You know, Ayah love you
so much'. Selain penggunaan bahasa bersama pasangan, wujud juga sebab lain akan
mengapakah BM tidak digunakan dalam konteks mengucapkan sayang. Menurut pandangan
R4, perkataan 'sayang' dalam BM dalam konteks penggunaannya bersama anak tidak
merujuk kepada kata adjektif tetapi fungsinya lebih kepada kata kerja, yakni menyuruh
anaknya mencium pipinya. Seperti contoh, 'Dar**** come sayang Ayah...'. Alasan yang
diberikan R4 ini antara dapatan yang menarik kerana ianya diluar jangkauan pengkaji.
Dapatan kajian bagi situasi emosi dalam konteks memarahi anak pula menunjukkan
corak penggunaan bahasa yang berbeza, iaitu 70% daripada responden menggunakan
BM/BMD. Pada pandangan pengkaji, ibu bapa lazimnya tidak memikirkan bahasa apakah
yang harus digunakan dalam situasi memarahi anak. Sebaliknya bahasa yang digunakan itu
adalah bahasa yang terkeluar secara semula jadi. Hasil temubual bersama R3 menguatkan
lagi pernyataan ini, yang mana menurut beliau, dalam situasi marah, beliau tidak pernah
memikirkan bahasa apa yang perlu digunakan.
Jelasnnya, satu kesimpulan awal yang dapat dilakarkan adalah penggunaan bahasa
responden bersifat dinamik yakni berubah-ubah mengikut kesesuaian konteks
penggunaannya. Walaupun sedemikian, dalam kebanyakan situasi penggunaan bahasa,
majoriti daripada responden (58%) dan pasangan (72%) tetap memilih untuk menggunakan
BM/BID sebagai amalan bahasa bersama anak. Ini mengukuhkan lagi dapatan kajian bahawa
BM masih lagi dipilih dalam amalan bahasa responden dan pasangan. Situasi ini timbul
berdasarkan pelbagai sebab yang akan dilanjutkan perbincangannya di bahagian 'Ideologi
Bahasa'.
Berkait dengan penggunaan bahasa responden bersama anak, kajian ini turut melihat
penggunaan bahasa anak bersama responden dan pasangan responden. Antara perkara
yang menarik adalah ibu bapa bukan model penggunaan bahasa anak-anak mereka. Seperti
contoh, 70% daripada pasangan responden menggunakan BM/BMD namun, hanya 50%
sahaja daripada anak responden menggunakan BM/BMD bersama pasangan responden.
Antara alasan yang dicungkil oleh pengkaji akan wujudnya corak penggunaan bahasa
sedemikian adalah disebabkan rumah bukanlah satu-satunya tempat dimana anak itu
didedahkan kepada penggunaan bahasa kerana anak tersebut juga didedahkan kepada
bahasa melalui pusat jagaan kanak-kanak. Rangkaian sosial anak-anak di pusat jagaan inilah
yang membentuk amalan bahasa mereka. Pernyataan ini dapat dikuatkan lagi dengan melihat
penggunaan bahasa R3 dan anaknya. R3 menggunakan BM/BMD bersama anaknya
manakala suami R3 pula menggunakan BM bersama anak. Walaupun sedemikian,
penggunaan bahasa anaknya lebih kepada BI/BID. Seperti contoh, dalam perbualan seharian
dan sewaktu makan, R3 menggunakan BMD manakala anaknya menggunakan BID. Untuk
menjelaskan corak penggunaan bahasa anaknya, pengkaji merujuk kepada hasil temubual
bersama R3 yang mengujarkan seperti berikut:
R3: "Pada pendapat saya, ini disebabkan anak saya
meluangkan 9 jam sehari di tajaka...dan belajar BM hanya
45 minit...anak saya juga menonton video 'unboxing toys'
di Youtube... .
10
Hasil rakaman ini menunjukkan bahawa amalan bahasa di sekolah dan media massa ternyata
mempunyai pengaruh yang tinggi terhadap amalan bahasa kanak-kanak di rumah. Yang perlu
ditekankan disini adalah anak sudah mula menunjukkan satu trend penggunaan bahasa yang
berbeza dengan ibu bapa.
Analisis terhadap amalan bahasa jelasnnya menunjukkan bahawa amalan bahasa
dalam keluarga bukan sahaja berbeza-beza dari satu generasi ke generasi yang lain malah,
ia turut menunjukkan perbezaan bahasa, iaitu dahulu responden mencontohi amalan bahasa
ibu bapanya namun hari ini, anak-anak tidak semestinya mencontohi amakan bahasa ibu
bapa mereka.
6.2 IDEOLOGI BAHASA
Penganalisisan terhadap ideologi bahasa responden dalam bahagian ini berjaya merungkai
antara faktor-faktor yang mempengaruhi amalan bahasa mereka dalam keluarga. Secara
keseluruhan, analisis terhadap ideologi bahasa dibahagikan kepada dua, pertama
penganalisisan ideologi bahasa secara keseluruhan dan kedua, penganalisisan ideologi
bahasa bagi kumpulan BM/BID (n=14) dibandingkan dengan kumpulan BI/BID (n=6) bersama
anak. Analisis bagi SL/SB digabungkan disebabkan faktor bahasa juga sebahagian daripada
sosiobudaya dan bahasa kerap dianggap sebagai salah satu aspek luahan budaya. Maka itu,
SL/SB diletakkan dalam kategori yang sama.
6.2.1 Ideologi Bahasa Inggeris & Bahasa Melayu
Rajah 3 Min keseluruhan bagi tanggapan ibu bapa terhadap ideologi BI dan BM yang
dibahagikan kepada faktor SP, SE, SL/SB.
Penganalisisan terhadap Rajah 3 menunjukkan faktor SE menjadi satu aspek yang
meletakkan BI dan BM pad jurang yang ekstrem. Bagi faktor SE, wujud perbezaan
keberkesanan antara BI (M=4.18, SD=0.71) dan BM (M=2.43, SD=0.99), t(38)=-6.43, P <
0.05. Responden menganggap wujudnya nilai ekonomi dalam BI tetapi tidak bagi BM.
Berdasarkan penganalisisan data, pengkaji dapat rumuskan bahawa ideologi
sedemikian terbentuk kerana setiap bahasa itu mempunyai nilai ekonomi dan nilai ekonomi
ini berdasarkan tafsiran penuturnya. Dalam konteks Singapura, tidak dapat dinafikan bahawa
BI mempunyai nilai ekonomi disebabkan ia adalah bahasa perantaraan yang digunakan
dalam sektor pekerjaan, pendidikan dan lain-lain. Malahan, kepentingan penguasaan BI di
Singapura telah ditekankan seawal 1980an mereka yang mempunyai tahap ekonomi yang
lebih tinggi adalah disebabkan mereka mempunyai penguasaan BI yang baik (Chew, 1999).
Ini membentuk ideologi bahasa penguasaan dalam BI itu adalah aset kepada individu.
Cabaran ini juga dihadapi oleh pengguna bahasa Tamil di Singapura seperti dipaparkan oleh
11
Kandakara (2011), yang mana beliau menunjukkan penguasaan bahasa Tamil di Singapura
tidak meningkatkan peluang pekerjaan. Persamaan ini dapat dikaitkan dengan BM di
Singapura, iaitu penguasaan dalam BM tidak meningkatkan peluang pekerjaan seseorang.
Pandangan ini dikongsi oleh responden melalui Soalan 143, 'BM penting untuk mencari
pekerjaan di Singapura' yang mana responden rata-ratanya tidak bersetuju (M=2.17,
SD=0.92) mengukuhkan lagi pernyataan bahawa responden tidak menganggap BM di
Singapura mempunyai nilai SE.
Melalui hasil dapatan dalam kajian ini, satu rumusan yang menyeluruh dapat
dilakarkan, yakni ideologi ibu bapa terhadap BI adalah positif bagi ketiga-tiga faktor SP, SE
dan SL/SB. Berdasarkan pada ideologi yang dipegang oleh responden, pengkaji turut
berminat untuk melihat harapan responden terhadap bahasa yang ingin diwariskan oleh
mereka kepada anak-anak.
Rajah 4 Min bagi tanggapan ibu bapa terhadap harapan bahasa yang ingin dikuasai oleh
anak.
Walaupun responden rata-ratanya menggunakan BM bersama generasi yang lebih tua seperti
terpapar dalam Rajah 1, namun apabila sampai pada peringkat pemilihan bahasa yang ingin
diwariskan dengan anak itu, mereka mempunyai pandangan serta harapan yang berbeza.
Seperti contoh, dari Rajah 4 ini jelas bahawa harapan ibu bapa adalah mereka ingin
mewariskan kedua-dua BM dan BI kepada anak mereka secara serentak (soalan, 153,
M=4.50, SD=0.85) dan tidak bersetuju dengan pernyataan soalan 154 dan 155, yakni anak
mereka hanya perlu fasih dalam satu bahasa sahaja. Ini membuktikan bahawa ideologi
responden berbeza dengan ideologi ibu bapa mereka.
Pada pandangan pengkaji, salah satu sebab yang dapat menjelaskan pembentukan
ideologi bahasa sedemikian adalah keberkesanan dasar bilingualisme yang dipraktikkan di
Singapura. Golongan responden yang rata-ratanya melalui sistem pendidikan aliran nasional,
merasai sendiri dan menjadi saksi kepada keberkesanan sistem dwibahasa. Oleh sebab
mereka adalah produk daripada sistem yang mereka anggap berjaya dan berkesan, tidak
mustahil jikalau pengkaji melihat dasar dwibahasa ini model FLP mereka. Inilah antara sebab
utama yang pengkaji fikirkan dapat merungkai mengapakah ibu bapa tidak mencontohi polisi
bahasa yang diwarisi oleh ibu bapa mereka sebaliknya berusaha untuk melakarkan satu FLP
yang baru, iaitu keinginan bagi anak mereka untuk menguasai kedua-dua bahasa secara
serentak.
12
Dalam menentukan FLP, responden juga terpaksa membuat pilihan akan bahasa
apakah yang harus anak mereka kuasai dahulu. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa
responden memilih penguasaan dalam BI dahulu berbanding BM bagi anak mereka (soalan
152, M=2.76, SD=1.47).
Sikap pemilihan yang mengutamakan BI dahulu ini dilihat pengkaji sebagai pemilihan
yang berteraskan pragmatisme, yakni pemilihan ibu bapa adalah berdasarkan realiti
sosiolinguistik di Singapura. Dalam Rajah 3 dibuktikan bahawa BI mempunyai nilai ekonomi
yang tinggi maka itu tidak mustahillah jikalau pengkaji kaitkan pemilihan pragmatik ibu bapa
ini bertungjangkan nilai ekonomi yang tinggi dalam BI. Malahan, pengkaji turut berfikiran
bahawa faktor SE dalam BI bukanlah satu-satunya sebab mengapakah BI dipilih. Pada
pandangan pengkaji, faktor SP dalam BI turut mendorong ibu bapa dalam pemilihan pragmatik
tersebut. Misalnya, penguasan dalam BI dianggap lebih penting kerana semua subjek di
sekolah diajar dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, ini membentuk ideologi ibu bapa bahawa
jikalau anak mereka tidak menguasai BI, anak mereka akan mengalami kesukaran untuk
menguasai ilmu-ilmu lain di sekolah.
Bagi segelintir responden yang memilih penguasaan BM dahulu bagi anak mereka,
antara sebab yang dapat difikirkan pengkaji adalah responden meletakkan faktor SL/SB
mendahului nilai ekonomi dengan menginginkan pembentukan identiti anak mereka dahulu
melalui bahasa dan budaya. Selain itu, faktor SP turut memainkan peranan dalam
menjelaskan pemilihan tersebut. Pandangan ini turut dikukuhkan lagi oleh hasil dapatan
daripada R2, R4, R6 dan R7 yang sangat setuju dengan pernyataan 'BM itu penting
disebabkan ia adalah subjek di sekolah'.
Oleh itu, hasil analisis ideologi bahasa secara keseluruhan menampakkan bahawa
amalan bahasa dalam keluarga tidak terbentuk begitu sahaja tetapi sebaliknya wujud ideologi-
ideologi tertentu yang mempengaruhi polisi bahasa dalam sesebuah negara. Jelasnnya,
secara keseluruhan, walaupun nilai sosioekonomi BI itu tinggi, penggunaan BM tetap wujud
sebagai FLP disebabkan BM itu penting dalam pembentukan identiti dan subjek dalam
pendidikan.
Untuk menyelami dengan lebih mendalam akan ideologi bahasa responden, pengkaji
telah membuat penganalisisan berdasarkan kelompok responden yang menggunakan
BM/BMD bersama anak dan kumpulan responden yang menggunakan BI/BID bersama anak.
Hasil dapatan kajian ini akan dibincangkan secara terperinci dalam bahagian selanjutnya.
6.2.2 Ideologi Bahasa Mengikut Kumpulan BM/BMD dan BI/BID
Penganalisisan terhadap kedua-dua kumpulan telah berjaya membuktikan bahawa kedua-
dua kumpulan ini mempunyai ideologi yang berbeza-beza terhadap BM dan BI. Dua dapatan
yang paling menarik adalah pertama, bagi faktor SE dalam BI, wujud perbezaan antara kedua-
dua kumpulan, yakni kumpulan yang menggunakan BI/BID menganggap nilai ekonomi dalam
BI lebih tinggi. Perbezaan yang wujud antara dua kumpulan ini lebih ketara bagi faktor SE
dalam BM pula yang mana kumpulan yang menggunakan BI/BID tidak setuju bahawa
wujudnya nilai ekonomi bagi BM. Kedua-dua perbezaan ini digambbarkan melalui Rajah 5
dan Rajah 6.
13
Rajah 5 Min bagi ideologi BI mengikut kumpulan.
Penganalisisan terhadap Rajah 5 membuktikan nampaknya jurang yang berbeza dalam
ideologi BI yang dipegang oleh kedua-dua kumpulan, iaitu kumpulan yang menggunakan
BI/BID menganggap nilai ekonomi dalam BI lebih tinggi, t(18)=2.32, P < 0.05. Jurang
perbezaan dalam pandangan ini turut dikongsikan oleh responden dalam soalan yang
bertanya akan kepentingan BI di Singapura itu adalah untuk mendapatkan pekerjaan. Sekali
lagi, corak ideologi yang berbeza ditunjukkan responden, iaitu min bagi kumpulan BI/BID lebih
tinggi dan wujud perbezaan keberkesanan bagi pernyataan tersebut, t(18)=2.44, P < 0.05.
Walaupun agak sukar bagi pengkaji menjustifikasikan corak perbezaan yang wujud
ini, perlu dinyatakan bahawa perbezaan yang wujud di antara kedua-dua kumpulan ini bagi
faktor SE dalam BI bukanlah satu perbezaan yang ekstrem tetapi perbezaannya terletak pada
kumpulan yang menggunakan BI/BID menganggap faktor SE dalam BI ini lebih penting.
Kedua-dua kumpulan akur dan mempunyai idologi yang selari, yakni dalam konteks
Singapura, BI itu mempunyai nilai ekonomi.
Namun demikian, nilai ekonomi dalam BM pula menampakkan jurang perbezaan yang
ekstrem, yakni kumpulan BI/BID tidak bersetuju bahawa BM mempunyai nilai SE. Ini boleh
dilihat melalui Rajah 6 yang menampakkan min faktor SE dalam BM bagi kumpulan BI/BID
adalah negatif (M=2.20, SD=1.14). Walaupun sedemikian, tidak wujud perbezaan
keberkesanan di antara dua kumpulan ini bagi faktor tersebut.
Rajah 6 Min ideologi BM mengikut kumpulan.
14
Perbezaan yang extrem ini hanyalah wujud bagi faktor SE dalam BM sahaja. Rajah 6 di atas
ini menunjukkan bahawa responden mengakui dan bersetuju, iaitu faktor SE bukanlah satu-
satunya penentu akan mengapakan BM itu diterapkan sebagai salah satu bahasa dalam FLP.
Min yang positif seperti tergambar dalam Rajah 6 membuktikan bahawa faktor SP dan SL/SB
juga dianggap sebagai faktor penting dalam mempengaruhi amalan bahasa keluarga mereka.
Pengkaji turut berpendapat bahawa nilai ekonomi yang dipegang dalam satu-satu
bahasa tidak semestinya menjadi ultimatum kepada pemilihan sesuatu bahasa. Pada
pandangan pengkaji, fungsi sesuatu bahasa itu bukan sahaja untuk memenuhi fungsi
ekonomi tetapi fungsi bahasa juga turut memainkan peranan penting dalam pembentukan
budaya. Pandangan ini disokong oleh hasil dapatan daripada R3 dan R4 yang mana dalam
pengurusan bahasa keluarga, mereka menunjukkan usaha untuk menjadikan BM sebagai
FLP mereka. Menurut pernyataan R3 yang menggunakan BM/BMD dengan anaknya, beliau
melihat bahawa BM itu membawa fungsi penting dalam pembentukan identiti anaknya. Apa
yang diungkapkan oleh R3 ini bukan sahaja menarik malah ia juga selari dengan salah satu
matlamat BM yang dilakarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE, 2015) yakni
"...membolehkan murid memahami dan membina jati diri melalui penghayatan yang
mendalam tentang budaya, tradisi, sastera dan sejarah...". Jelasnnya, ini menampakkan
bahawa responden mempunyai ideologi yang seimbang, yakni walaupun nilai SE dalam BM
tidak setinggi BI, ianya tidak menghambat penggunaan BM sebagai salah satu FLP mereka
kerapa wujudnya faktor SL/SB yang dianggap penting dalam membentuk identiti anak
mereka.
Penggunaan BM sebagai salah satu amalan bahasa dalam keluarga bukan sahaja
terletak pada faktor SL/SB malah pada pandangan pengkaji, faktor SP dalam BM adalah
faktor terpenting dalam melestarikan BM sebagai amalan bahasa dalam keluarga. Pernyataan
ini dikuatkan lagi dengan hasil penganalisisan pada Rajah 6, yakni bagi faktor SP dalam BM,
wujudnya perbezaan keberkesanan antara kedua-dua kumpulan. Laporan data menunjukkan
min kumpulan BM/BMD (M=4.43, SD=0.63) lebih tinggi berbanding min kumpulan BI/BID
(M=3.67, SD=0.79), t(18)=-2.30, P < 0.05.
Bagi menjelaskan corak ideologi bahasa sedemikian, pengkaji berpendapat bahawa
ideologi kumpulan BI/BID yang kurang positif berbanding kumpulan BM/BMD adalah
disebabkan dasar dan sistem pendidikan Singapura yang membolehkan ibu bapa memilih
sukatan pelajaran bahasa Ibunda 'B' (MTL B). Laporan daripada Kementerian Pendidikan
(MOE, 2004) menunjukkan bahawa pelajar yang mendapat gred 'C' bagi subjek Bahasa
Ibunda di peringkat Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) boleh mengambil MTL 'B' di
peringkat menengah satu. Pada pandangan pengkaji, peluang yang ditawarkan oleh
kementerian pendidikan sedikit-sebanyak secara tidak langsung telah membentuk ideologi
dan sikap yang sambil lewa ke atas BM. Pernyataan ini turut disokong oleh R1 yang amalan
bahasa dalam keluarganya adalah BI/BID menyebutkan bahawa beliau tidak risau akan BM
anaknya kerana jikalau anaknya gagal dalam BM, beliau mempunyai pilihan untuk mengambil
MTL B untuk anaknya. Justeru, pada hemat pengkaji, tidak mustahil bahawa pengecualian
yang diberikan oleh kementerian pendidikan terhadap bahasa ibunda ini membentuk ideologi
ibu bapa yang beranggapan bahawa BM sebagai subjek bahasa di sekolah tidak sepenting
subjek-subjek lain kerana wujudnya pilihan dan peluang untuk mengambil MTL B jikalau gred
bahasa Ibunda anak mereka tidak memuaskan. Dalam merungkai apakah faktor yang dapat
mengubah persepsi R1 terhadap pengunaan BM sebagai amalan bahasa keluarga, jawapan
R1 adalah dasar pemerintah sahaja yang dapat mengubah FLP keluarganya. Seperti contoh,
R1 menjelaskan bahawa beliau dan isterinya akan lebih menggunakan BM bersama anaknya
jikalau BM itu penting dari segi keperluan pendidikan. Misalnya, R1 menjelaskan bahawa
jikalau kemasukan universiti di Singapura memerlukan gred kepujian dalam BM, maka itu
15
barulah faktor yang dilihatnya sebagai penting. Maka itu, jikalau dasar pemerintah meletakkan
kepentingan yang tinggi terhadap BM, barulah FLP beliau akan berubah yakni menggunakan
lebih BM dalam pengurusan bahasa keluarganya. Buat masa ini, semakan terhadap kriteria
kelayakan kemasukan Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah gred 'S' atau 'D7' bagi
subjek bahasa ibunda sebagai subjek H1 atau gred 'lulus' dalam MTL 'B' Syllabus di peringkat
GCE 'A'. Maka itu, selagi dasar pemerintah tidak meletakkan kepentingan yang tinggi kepada
BM, pada pendapat pengkaji, akan wujudlah lebih ramai ibu bapa yang tidak melihat akan
kepentingan BM sekaligus wujud kemungkinan bahawa penggunaan BM tidak akan menjadi
FLP mereka.
Justeru, jelaslah bahawa faktor SP melalui dasar bahasa dan pendidikan yang
dilakarkan pemerintah merupakan faktor terpenting dan utama dalam membentuk dan
mengubah ideologi ibu bapa supaya BM dilihat sebagai penting di Singapura. Jikalau
pemerintah memberikan kepentingan yang tinggi terhadap BM, tidak mustahil lebih ramai
akan menggunakan BM sebagai FLP mereka.
6.3 PENCAPAIAN GRED BAHASA
Dalam kajian ini, pengkaji juga ingin melihat kemungkinan hubung kait di antara pencapaian
gred bahasa dengan keupayaan penggunaan bahasa. Maka itu, sijil peperiksaan peringkat
GCE 'O' telah digunakan sebagai kayu ukur bagi pengkaji untuk melihat sama ada wujudnya
hubung kait tersebut.
Penilaian bahasa berdasarkan pencapaian tertinggi gred bahasa di peringkat GCE 'O'
terbahagi kepada dua bahagian. Pertama adalah pencapaian gred tertinggi BM dan kedua,
pencapai gred tertinggi BI. Pilihan yang diberikan kepada responden adalah 'A1/A2', 'B3/B4',
'C5/C6' dan 'D7'.
Hasil dapatan analisis pada Rajah 7 menunjukkan bahawa pencapaian gred yang
cemerlang dalam BM mungkin menjadi penentu akan corak amalan bahasa BM/BMD
bersama anak namun sebaliknya, penggunaan BI/BID bersama anak tidak semestinya
disebabkan ibu bapa mempunyai penguasaai BI yang cemerlang seperti terpapar dalam
Rajah 7.
Rajah 7 Peratusan bagi pencapaian gred tertinggi BM dan BI di peringkat GCE 'O'.
Hasil dapatan analisis Rajah 7 menunjukkan dua dapatan yang menarik. Pertama, 79%
responden yang menggunakan BM/BMD bersama anak mendapat markah kepujian A1/A2
bagi subjek BM di peringkat GCE 'O'. Bagi kumpulan yang menggunakan BI/BID besama anak
pula, tidak ada seorang pun yang mendapat markah kepujian bagi subjek BI di peringkat GCE
'O'. Hasil dapatan jelas memperlihatkan bahawa selain ideologi bahasa yang didukungi oleh
responden, penguasaan bahasa responden juga boleh menjadi faktor dalam penentuan FLP
mereka.
16
Pada pandangan pengkaji, di samping SP dan SL/SB dalam ideologi bahasa yang
membentuk serta mempengrauhi penggunaan BM/BMD sebagai amalan bahasa, wujud juga
kemungkinan bahawa pencapaian gred yang cemerlang dalam subjek BM merupakan punca
mengapakah bahasa tersebut digunakan sebagai amalan bahasa dalam keluarga. Pencapai
gred yang cemerlang dalam BM membuktikan bahawa lebih ramai responden mempunyai
penguasaan BM yang lebih baik berbanding BI, maka itu tidak mustahillah untuk mengatakan
bahawa responden menggunakan BM/BMD bersama anak disebabkan mereka lebih
menguasai BM berbanding BI.
Situasi ini berbeza pula dengan responden yang menggunakan BI/BID bersama anak.
Pencapaian akademik dalam BI tidak mendorong mahupun menghalang penggunaan BI
bersama anak. Malahan, walaupun semua responden yang menggunakan BI/BID bersama
anak tidak mempunyai gred cemerlang dalam BI, mereka tetap berusaha untuk menggunakan
bahasa tersebut sebagai amalan bahasa dalam keluarga.
Untuk menjelaskan mengapakah sedemikian, pengkaji berpendapat bahawa wujud
kemungkinan bahawa pencapaian yang rendah dalam BI itu menyebabkan mereka ingin
membantu anak-anak mereka lebih awal agar BI dapat dicapai dengan lebih baik. Wujud juga
kemungkinan responden menganggap amalan bahasa bersama ibu bapanya, yakni
menggunakan lebih BM sebagai punca mereka tidak menguasai BI dengan baik. Atas
kesedaran inilah, apabila tiba giliran responden menjadi ibu bapa, pengalaman amalan
bahasa bersama ibu bapanya itu menjadi satu model yang dianggap harus disesuaikan. Maka
itu dalam menentukan FLP mereka sendiri, responden berpendirian bahawa pendedahkan
kepada BI haruslah dilakukan seawal mungkin supaya anak mereka dapat menguasai bahasa
tersebut.
Pada hemat pengkaji, ini boleh menjadi sesuatu yang positif hanya jikalau responden
menggunakan BI yang standard bersama anaknya. Oleh sebab pencapaian bahasa
menunjukkan tidak ada seorang pun responden yang mendapat gred A1/A2 bagi BI, besar
kemungkinan BI yang digunakan di rumah itu dalam bentuk yang tidak standard. Walaupun
skop kajian ini tidak melihat mutu penggunaan bahasa responden bersama anak, pengkaji
berjaya merakam hasil perbualan harian R3 bersama anaknya melalui lawatan ke rumah yang
akan digunakan untuk membuktikan dan mengukuhkan pernyataan tersebut. Bentuk BI yang
digunakan R3 seolah-olah berbentuk terjemahan literal BI ke BM.
R3 i. "You eat already or not"
ii. "So, nari in school, Dar**** buat apa, you got play with
your friend?"
iii. "Dar**** you don't play, play, play je, go do
homework, got homework kan?"
Yang menjadi kekhuatiran pengkaji adalah ibu bapa yang tidak mempunyai penguasaan BI
yang baik akan mewariskan bentuk bahasa yang tidak standard kepada anak yang
kemudiannya boleh menjejas keupayaan BI anak-anak. Hal yang sama tidak mungkin terjadi
kepada keluarga yang menggunakan BM/BMD kerana majoriti daripada mereka yang
mendapat gred kepujian bagi BM, mempunyai penguasaan BM yang baik maka itu bentuk BM
yang baik ini akan diwariskan kepada anak. Ini adalah persoalan-persoalan yang wajar
difikirkan oleh ibu bapa, tanpa menggunakan bentuk BI yang gramatis, adakah harapan utama
ibu bapa untuk anak menguasai BM dan BI yang baik akan tercapai.
17
Natijahnya, pencapaian gred bahasa turut memainkan peranan penting dalam
penentuan FLP kerana mutu bahasa yang diwarisi oleh anak itu adalah cerminan kepada
amalan bahasa ibu bapa.
IMPLIKASI
Hasil penganalisisan dan dapatan membuktikan bahawa wujudnya kerencaman faktor yang
menjadikan bahasa itu penting pada diri ibu bapa. Jelasnnya, ideologi bahasa ibu bapa
memainkan peranan utama dalam penentuan FLP. Namun demikian, ideologi bahasa yang
menjadi penentu ini boleh membawa kepada beberapa implikasi terhadap status BM sebagai
bahasa Ibunda di Singapura.
Punca utama penentuan FLP adalah berdasarkan faktor ekonomi. Nilai ekonomi
sesuatu bahasa jelasnya menggambarkan prestij dan imej bahasa tersebut. Dalam hal ini, BI
digunakan kerana ibu bapa menganggap BI sebagai sebuah bahasa yang mempunyai nilai
ekonomi yang tinggi. Ini sukar untuk dinafikan, lebih-lebih lagi dalam konteks Singapura yang
mana penguasaan BI yang baik dapat menjamin peluang pekerjaan. Maka itu, tidak hairanlah
mengapa ibu bapa yang melihat kepentingan bahasa dari sudut nilai ekonomi akan
melakarkan penggunaan BI sebagai FLP keluarganya. Ini selari dengan dapatan kajian orang
Cina di Montreal, Kanada yakni ibu bapa mewariskan bahasa Cina kepada anak mereka atas
dasar nilai ekonomi (Curdt-Christiansen, 2009).
Polisi bahasa yang berteraskan nilai ekonomi ini jelasnnya akan membawa implikasi
negatif terhadap status BM sebagai bahasa ibunda kerana akan berlakunya peralihan bahasa
dalam keluarga. Walaupun peralihan bahasa kepada BI ini wujud dalam amalan bahasa
keluarga, ibu bapa boleh melakukan sesuatu untuk memastikan BM tetap digunakan. Pengkaji
mencadangkan ibu bapa menetapkan polisi bahasa yang mana generasi atasan
(datuk/nenek) harus kekal menggunakan BM bersama cucu mereka. Jikalau ini dilaksanakan,
hasilnya akan selari dengan dapatan kajian Smith-Christmas (2014) yang mana golongan
generasi lebih tua di Scotland kekal dengan penggunaan bahasa natif Gaelic bersama
generasi golongan yang lebih muda.
Oleh sebab faktor ekonomi merupakan punca utama penentuan FLP, ideologi ibu bapa
adalah BM tidak begitu penting kerana nilai ekonominya yang rendah. Paling
membimbangkan adalah kumpulan BI/BID yang menganggap BM tidak mempunyai nilai
ekonomi. Ini turut mendatangkan kesan negatif terhadap status BM sebagai bahasa Ibunda.
Oleh sebab BM tidak mempunyai nilai ekonomi, maka itu ibu bapa beranggapan bahawa
untuk menggunakan BM sepenuhnya bersama anak bukanlah satu pilihan yang pragmatik.
Ini sekaligus merendahkan lagi status BM sebagai bahasa Ibunda kerana lebih ramai ibu bapa
mula berganjak kepada penggunaan BI tanpa menghiraukan kualiti BI yang diwariskan
kepada anak mereka. Namun demikian, penggunaan BI sepenuhnya dengan anak juga
bukanlah satu pilihan yang pragmatik kerana faktor sosiopolitik yang mewajibkan
pembelajaran bahasa Ibunda di sekolah.
Ini menjadikan faktor sosiopolitik sebagai punca penting dalam memastikan
penggunaan BM tetap dikekalkan sebagai FLP masyarakan Melayu Singapura. Dasar
pendidikan yang mewajibkan pembelajaran bahasa Ibunda di sekolah jelasnnya berjaya
membentuk ideologi ibu bapa bahawa BM itu masih lagi penting dan perlu digunakan di dalam
keluarga. Ini jelasnnya membawa implikasi positif terhadap status BM sebagai bahasa Ibunda.
Ini membuktikan bahawa BM akan terus menjadi FLP masyarakat Melayu Singapura.
18
Walaupun dasar pendidikan mewajibkan pembelajaran BM di sekolah, wujud segelintir ibu
bapa, khususnya mereka yang menggunakan BI/BID besama anak yang masih mempunyai
ideologi bahawa BM itu tidak begitu penting. Pemikiran sedemikian sekali lagi berpunca
daripada faktor sosiopolitik, khususnya dasar pendidikan yang memberi ruang untuk pelajar
mengambil 'MTL B' dalam subjek. Ruang dan peluang sedemikian membentuk ideologi
bahasa ibu bapa, yakni walaupun anak mereka tidak menguasai BM dengan baik, anak
mereka akan tetap berjaya dalam arus pendidikan kerana kriteria untuk memasuki universiti
tidak bergantung sepenuhnya pada pencapai gred akademik BM yang cemerlang. Oleh sebab
demikian, kesan BM sebagai bahasa Ibunda akan menjadi negatif.
Inilah kesan dan akibat apabila kepentingan sesuatu bahasa itu berpaksikan faktor
sosiopolitik kerana dasar pemerintah itu besifat dinamis dan boleh berubah-ubah mengikut
kesesuaian dan kepentingan politik. Sekarang ini, BM digunakan disebabkan ianya masih lagi
dianggap penting. Jikalau pemerintah tidak lagi mewajibkan subjek bahasa Ibunda di sekolah,
status BM sebagai bahasa Ibunda di Singapura akan menjadi negatif. Ini disebabkan, ibu bapa
akan terus-menerus beralih kepada penggunaan BI disebabkan nilai ekonomi dan faktor
sosiopolitik sudah bukan lagi menjadi pegangan ideologi bahasa ibu bapa.
Jikalau ini berlaku, faktor sosiolinguistik dan sosiobudayalah yang akan menjadi
perisai terakhir dalam memastikan status BM sebagai bahasa Ibunda di Singapura dikekalkan.
Ibu bapa harus mula mengubah perspepsi ideologi bahasa mereka dan mula melihat
kepentingan kaitan antara bahasa, budaya dan identiti. BM itu jelasnnya membawa fungsi
budaya yang tinggi seperti contoh, aspek kesantunan bahasa yang wujud dalam BM dapat
membentuk tingkah-laku dan identiti yang murni. Disebabkan aspek sosiobudaya ini begitu
penting, tidak hairanlah bahawa pemerintah Singapura sudah mula beralih arah kepada
memastikan aspek budaya ini kekal relevan dalam masyarakat Melayu. Misalnya, kempen
Bulan Bahasa anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura bertemakan 'Ilmu, Budaya, Mesra',
memberikan kepentingan yang tinggi terhadap "memasyarakatkan kemurnian adab dan
budaya" melalui penggunaan BM. Dengan wujudnya kempen-kempen sedemikian, tidak
mustahil perspepsi ibu bapa akan mula berubah, yakni tidak lagi melihat aspek ekonomi dan
sosiopolitik dalam BM sahaja tetapi sebaliknya melihat kepentingan bahasa itu dalam
pembentukan identiti serta jati diri anak mereka. Jikalau ini berjaya berlaku, penentuan FLP
orang Melayu boleh selari dengan masyarakat Hispanic di Kanada yang mengangkat bahasa
ibunda sebagai amalan bahasa kerana bahasa itu dikaitkan dengan budaya, sejarah
keturunan dan identiti keturunan mereka (Guardado, 2008). Hakikatnya bagi orang Melayu,
bahasa itu adalah sebahagian daripada lambang identiti bangsa mereka.
KESIMPULAN
Melalui kajian ini, soalan-soalan kajian telah berjaya dijawab melalui hasil dapatan yang
menyeluruh. Jelasnnya, amalan bahasa antara tiga generasi menunjukkan peralihan kepada
mengutamakan bahasa kepada BI. Faktor sosioekonomi dalam bahasa juga terbukti menjadi
faktor utama dalam menentukan polisi bahasa sesebuah keluarga. Walaupun wujud peralihan
bahasa tersebut, masyarakat Melayu Singapura tetap kekal menggunakan BM sebagai
bahasa dominan dalam polisi keluarga mereka. Ini menunjukkan bahawa status BM sebagai
bahasa Ibunda kekal relevan sehingga kini.
Walaupun begitu, kajian yang dilakukan ini hanya melibatkan 20 responden, maka itu
kajian yang lebih terperinci dan representatif harus dijalankan untuk menilai faktor-faktor lain
selain sosiopolitik, sosioekonomi, sosiolinguistik dan sosiobudaya. Pastinya wujud alasan-
alasan lain selain faktor-faktor yang disebut dalam pencorakan FLP sesebuah keluarga.
19
Dalam pada masa yang sama, kajian ini adalah usaha pertama dalam bidang kajian FLP bagi
masyarakat Melayu di Singapura. Diharapkan bahawa kajian seperti ini dapat dijadikan
pencetus ilham kepada para pengkaji akan peri pentingnya kajian-kajian terhadap FLP
masyarakat Melayu di Singapura.
RUJUKAN
Altman, C., Burstein Feldman, Z., Yitzhaki, D., Armon Lotem, S., & Walters, J. (2014). Family
language policies, reported language use and proficiency in Russian–Hebrew bilingual
children in Israel. Journal of Multilingual and Multicultural Development, 35(3), 216-234.
Caldas, S. (2012). Language policy in the family. In B. Spolsky (Ed.), Cambridge handbook
of language policy (pp. 351–373). Cambridge and New York: Cambridge University
Press.
Caldas, S. J. (2006). Raising bilingual-biliterate children in monolingual cultures (Vol. 57).
Multilingual matters.
Cavallaro, F., & Serwe, S. K. (2010). Language use and language shift among the Malays in
Singapore. Applied Linguistics Review, 1(1), 129-170.
Chen, Y. L. (2011). The Formation of Parental Language Ideology in a Multilingual Context: A
Case Study in Taiwan (Doctoral dissertation, University of Bath).
Chew, P. G. L. (1999). Linguistic imperialism, globalism and the English language. Aila
Review, 13(1), 37-47.
Curdt-Christiansen, X. L. (2006). Teaching and learning Chinese: Heritage language
classroom discourse in Montreal. Language, Culture and Curriculum, 19(2), 189-207.
_____ (2009). Invisible and visible language planning: Ideological factors in the family
language policy of Chinese immigrant families in Quebec. Language Policy, 8(4), 351-375.
_____ (2013). Family language policy: Sociopolitical reality versus linguistic continuity.
_____ (2014). Family language policy. Learning Chinese in diasporic communities: Many
pathways to being Chinese, 12, 35.
_____ (2016). Conflicting language ideologies and contradictory language practices in
Singaporean multilingual families. Journal of Multilingual and Multicultural Development,
37(7), 694-709.
De Houwer, A. (2009). Bilingual first language acquisition. Clevedon, UK: Multilingual
Matters.Dixon, L. Q. (2005). The Bilingual Education Policy in Singapore: Implications for
Second Language Acquisition.
Dogan, S. (2017). School Counselors' Work with Immigrants: A Phenomenological Study of
Competence, Social Justice, and Family Language Policy (Doctoral dissertation, The Ohio
State University).
Guardado, J.M. (2008). Language socialization in Canadian Hispanic communities: Ideologies
and practices. Unpublished PhD thesis, The University of British Columbia.
Kadakara, S. (2011). Status of Tamil Language in Singapore: An Analysis of Family Domain.
(Doctoral dissertation, University of Western Australia).
20
Kamsiah Abdullah (2000). Sekolah Menengah Melayu Di Singapura 1959 - 1987. Journal of
the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 73(1 (278)), 29-41.
King, K. A., Fogle, L., & Logan-Terry, A. (2008). Family language policy. Language and
Linguistics Compass, 2(5), 907–922.
King, K. A., & Fogle, L. W. (2013). Family language policy and bilingual parenting. Language
Teaching, 46(2), 1–13.
Luykx, A. (2005). Children as socializing agents: Family language policy in situations of
language shift. In J. Cohen et al. (Ed.), Proceedings of the 4th international symposium
on bilingualism (pp. 1407–14). Somerville, MA: Cascadilla Press.
Ministry of Education (2004). Refinements To Mother Tongue Language Policy.
Mohamed Pitchay Gani (2014). Ethnolinguistic vitality of the Malays of Singapore / Mohamed
Pitchay Gani bin Mohamed Abdul Aziz. PhD thesis, University of Malaya.
Moore, L. C. (2016). Change and variation in family religious language policy in a West African
Muslim community. Language Policy, 15(2), 125-139.
Nababan, P. W. J. (1984). Sosiolinguistik: Suatu pengantar. Jakarta: Penerbit PT Gramedia.
Revis, M. S. (2015). Family Language Policies of Refugees: Ethiopians and Colombians in
New Zealand.
Roksana Bibi Abdullah (2003). Bahasa Melayu Di Singapura - Pengalihan dan Pengekalan.
DeeZed Consult, Singapura.
_____ (2013). Soal Bahasa Pun Perlu Rancangan Keluarga. Berita Harian. Singapura. [24
September 2013]. Dipetik dari lelaman https://www.nie.edu.sg/docs/default-source/news-
document/240913-bh-pg- 4.pdf?Status=Master&sfvrsn=0
Schwartz, M. (2010). Family language policy: Core issues of an emerging field. Applied
Linguistics Review, 1(1), 171-192.
Schwartz, M., & Moin, V. (2012). Parents' assessment of their preschool children's bilingual
development in the context of family language policy. Journal of Multilingual and
Multicultural Development, 33(1), 35-55.
Smith-Christmas, C. (2014). Being socialised into language shift: the impact of extended family
members on family language policy. Journal of Multilingual and Multicultural
Development, 35(5), 511-526.
Smolicz, J. J., Secombe, M. J., & Hudson, D. M. (2001). Family collectivism and minority
languages as core values of culture among ethnic groups in Australia. Journal of
multilingual and multicultural development, 22(2), 152-172.
Tannenbaum, M. (2012). Family language policy as a form of coping or defence
mechanism. Journal of Multilingual and Multicultural Development, 33(1), 57–66.