KONSEP MODERNISASI DAN IMPLIKASINYA TERHADAP ... - Pertanian
Amalan Dan Gaya Hidup Masyarakat Serta Implikasinya Ke Atas Alam Sekitar
Transcript of Amalan Dan Gaya Hidup Masyarakat Serta Implikasinya Ke Atas Alam Sekitar
MASYARAKAT DAN ALAM SEKITAR(SOCIETY AND ENVIRONMENT)
Haliza Abdul RahmanProgram Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan
Pusat Pengajian Sains Kesihatan,Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
16150 Kubang Kerian, Kelantan.E.mel: [email protected]
ABSTRACT
The world of present with the greatness of sciences and technologies development and invention has increased the great concern of environmental harassments. Consequently, the condition and the quality of the environment had globally become worst. As the result of the consequences, the world had discussed the environmental pollution and it significance to human health in over last three decades. The World Health Organisation (WHO) suggested that quarter of the world affection cause by the continuance exposure to the environmental pollution. If the world’s societies give the great concern and care about the world’s health, the affection to humanity could be minimised. The humankind could collectively preserve and protect the environment by encouraging sustainable development as the way of living in order to sustain the environment to present and next generation. Therefore, the article will be focused on environmental pollution and it effect on human health and how the society could minimise the environment deteriorated through exercising sustainable way of living.
Key words: environment, health, society, exercising and sustainable way of living
PENGENALAN
Sejak sekian lama hubungan antara masyarakat dengan alam sekitar ibarat aur
dengan tebing iaitu saling bergantungan dan mempengaruhi antara satu sama
lain. Masyarakat memerlukan alam sekitar sebagai tempat tinggal, sumber
makanan, sumber perubatan, sumber bahan mentah, sumber terapi serta
sumber rekreasi dan pendidikan. Dalam kehidupan seharian, manusia sangat
bergantung pada alam sekitar dan adalah amat sukar untuk menyatakan
bahawa kesejahteraan kesihatan tidak bergantung pada kemampanan alam
sekitar. Hal ini bermakna gangguan terhadap alam sekitar secara berlebihan bukan
hanya menyebabkan kemerosotan kualitinya, tetapi juga boleh mengganggu
kesejahteraan kesihatan (Jamaluddin 2009).
Justeru itu, Persidangan Alma-Ata 1978 tentang Penjagaan Kesihatan
Primer menekankan betapa pentingnya alam sekitar dipelihara dan dipulihara
melalui usaha sama antarabangsa bagi melindungi kesihatan dan kualiti
persekitaran seperti udara, air dan makanan, memastikan kaedah pembuangan
sampah sarap yang selamat khususnya sisa merbahaya serta mewujudkan
kualiti dan keadaan perumahan dan persekitaran tempat tempat kerja yang
juga selamat (Haliza 2009).
Namun, manusia dengan segala kudrat dan pengetahuan yang
dimilikinya merupakan entiti yang mampu mempengaruhi alam sekitar serta
komponennya. Pemikiran ini sejak sekian lama diperkukuhkan berdasarkan
Doktrin Aristotle yang menyatakan “haiwan, tumbuhan dan bumi wujud semata-
mata untuk manusia” (ubahsuaian daripada Des Jardins 1997). Justeru, tidak
hairanlah mengapa dalam hubungannya dengan alam sekitar, manusia
sentiasa mendominasi, mengeksploitasi dan melakukan apa sahaja yang
dikehendaki kepada alam sekitar tanpa menitikberatkan usaha untuk
melindungi alam sekitar mereka.
Berikutan itu, keadaan dan kualiti persekitaran global semakin merosot
ke tahap yang lebih teruk. Di seantero dunia, peningkatan cuaca yang ekstrem
dan mendadak menyebabkan berlakunya peningkatan dalam kejadian banjir,
kemarau, hujan lebat, ribut taufan, ribut hujan batu, ribut pasir dan ribut salji.
Perkara ini disokong oleh laporan daripada Meteorology Office Centre for
Climate Prediction and Research yang menunjukkan bahawa bencana kemarau
melampau pada permukaan bumi akan meningkat daripada 3 peratus kepada
30 peratus, kemarau teruk pula akan meningkat daripada 8 peratus kepada 40
peratus manakala kemarau sederhana akan meningkat daripada 25 peratus
kepada 50 peratus (Environment News Service 2006).
Laporan Bureau Meteorologi Australia turut memberi amaran, di negara
tersebut kejadian keadaan ekstrem yang pada awalnya di jangka berlaku sekali
pada setiap 20-25 tahun akan menjadi lebih kerap, iaitu setiap satu atau dua
tahun (http://www.planetpark.com 2009) manakala kajian Ma Zhuguo et al.
(2004) di China menunjukkan sejak 10 tahun lepas kejadian kekeringan
melampau kerap berlaku di bahagian tengah utara dan timur utara negara
tersebut.
Bagaimanapun, jika setiap golongan ahli masyarakat peka, prihatin dan
menyokong penuh usaha memelihara dan memulihara alam sekitar kesemua
bencana tersebut boleh diminimumkan. Hal ini kerana masyarakat secara
kolektif mampu memelihara dan melindungi alam sekitar dengan
mempraktikkan amalan dan gaya hidup lestari bagi mengekalkan kesihatan
alam sekitar.
MASYARAKAT DAN ALAM SEKITAR
Lebih tiga dekad lalu, seluruh dunia hangat memperkatakan mengenai
pencemaran persekitaran dan perkaitannya dengan kesihatan manusia.
Kemunculan wabak penyakit dan pendemik juga telah meningkatkan kesedaran
tentang bahaya pencemaran di seluruh ekosistem. Menurut Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan satu perempat daripada beban
penyakit yang sedang dihadapi di seluruh dunia hari ini berpunca daripada
pendedahan berpanjangan terhadap pencemaran persekitaran (Hasmah 2009).
Umumnya pencemaran adalah perubahan secara langsung atau tidak
langsung kepada sifat fizikal, kimia dan biologi pada mana-mana komponen
alam sekitar melalui tindakan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan
bahan-bahan pencemar sehingga berupaya menjejaskan apa-apa kegunaan
berfaedah atau berupaya mendatangkan suatu keadaan yang berbahaya
kepada kesihatan, keselamatan dan kebajikan manusia serta hidupan lain di
planet ini. Ringkasnya, pencemaran ialah pengumpulan bahan-bahan yang
tidak sesuai kepada kehidupan di persekitaran. Bahan-bahan yang tidak
sesuai ini dipanggil bahan-bahan pencemar.
Pencemaran alam sekitar boleh berlaku akibat daripada pelbagai aktiviti
manusia. Sebagai contoh, pencemaran udara berlaku apabila terdapatnya
bahan pencemar seperti habuk, debu, asap dan gas-gas beracun di udara.
Pembakaran bahan api di kilang dan dalam enjin kenderaan bermotor misalnya
akan menghasilkan gas sulfur dioksida, nitrogen dioksida, karbon monoksida
dan debu yang mampu mencemari udara dan mendatangkan kesan buruk
kepada kesihatan masyarakat. Hal ini kerana, apabila kita menarik nafas, udara
yang tercemar akan disedut memasuki sistem respirotori dan menjejaskan
kesihatan serta mendatangkan penyakit tertentu kepada kita, khususnya
berkaitan sistem pernafasan seperti asma, bronkitis dan pneumonia.
Perkaitan antara pencemaran udara (yang kebanyakannya disebabkan
oleh pembakaran tidak lengkap ke atas bahan api fosil) dengan penyakit
pernafasan telah diperhatikan secara seragam di beberapa bahagian dunia.
Episod ‘London Smog’ yang berlaku di England pada tahun 1952 akibat
peningkatan dalam kepekatan bahan pencemar sulfur dioksida hasil daripada
pembakaran arang batu telah meningkatkan jumlah kematian disebabkan
bertambahnya penyakit berkaitan pernafasan. Episod yang sama juga dikesan
berlaku di kebanyakan tempat seperti di Donora, Pennsylvania, Lembah Ruhr
di Germany dan Tokyo, Jepun. Kajian klinikal, eksperimen dan epidemiologi
menunjukkan perkaitan yang seragam dengan bronkitis kronik dan perubatan
inflamatori akut disebabkan oleh sulfur dioksida (Haliza dan Rapeah 2009).
Pencemaran air di ekosistem tasik, kolam, sungai dan laut pula boleh
berlaku akibat daripada aktiviti pembuangan sisa yang tidak dirawat daripada
industri, tumpahan minyak daripada kapal, pembuangan sisa pepejal dan najis
domestik ke dalam badan-badan air dan juga oleh hakisan tanah akibat industri
pembalakan, pertanian dan pembinaan. Kesemua bahan pencemar ini jika
melebihi standard yang dibenarkan berupaya membahayakan kesihatan jika air
yang telah tercemar tersebut diminum atau digunakan untuk mandi. Antara
penyakit berkaitan dengan air termasuklah hepatitis, taun dan kegatalan kulit.
Satu contoh yang baik yang menunjukkan bahawa air tercemar boleh
menyebarkan wabak penyakit ialah peristiwa pemegang pam Broad Street di
London. Dalam kes ini, seorang doktor kesihatan awam bernama John Snow
telah ditugaskan untuk mengawal epidemik kolera yang melanda kota London.
Siasatan beliau mendapati kekerapan kes kolera yang menghairankan berlaku
di satu kawasan di London yang mana hampir kesemua mereka yang
menghidap kolera didapati mengambil air minuman mereka daripada pam
komuniti di tengah Broad Street. Bukti yang ditunjukkan oleh Snow berjaya
menyakinkan dewan bandaraya untuk menghentikan bekalan air yang tercemar
itu. Tindakan yang dilakukan ialah dengan membuang pemegang pam tersebut
dan tindakan ini telah berjaya menghalang orang ramai daripada menggunakan
air yang tercemar. Akhirnya, punca jangkitan dapat dikawal, wabak penyakit
beransur hilang dan satu era kesedaran tentang kesihatan awam berhubung
dengan bekalan air bermula (Vesilind et al. 1988).
Seterusnya aktiviti perindustrian dan penghasilan produk berasaskan
logam sangat jelas menyebarkan sisa baki di persekitaran dan mempunyai
kecenderungan untuk terkumpul di dalam tisu-tisu tertentu dalam badan
manusia dan akan menjadi toksik walaupun dalam dos yang rendah. Manusia
mungkin terdedah kepada logam berat daripada pelbagai punca di persekitaran
yang terhasil daripada industri pembuatan, pertanian, pekerjaan dan
sebagainya. Ketoksikan logam banyak melibatkan kegagalan fungsi otak dan
buah pinggang, dan ada juga yang mendatangkan masalah lain seperti
penyebab kanser. Mangsa keracunan logam biasanya akan menunjukkan
simpton umum seperti lemah dan sakit kepala. Keterdedahan yang kronik akan
mengakibatkan kesan keracunan kronik seperti tekanan darah tinggi dalam
individu yang terdedah kepada plumbum dan keracunan buah pinggang bagi
individu yang terdedah kepada kadmium. Keracunan arsenik pula sangat
sinonim dengan kanser paru-paru dan pundi kencing serta gatal-gatal pada kulit
walaupun pada tahap keterdedahan yang sederhana (Tseng et al. 2002). Ada
juga pendapat yang mengaitkan arsenik dengan penyakit kencing manis dan
darah tinggi terutamanya apabila terdedah kepada kepekatan yang tinggi
(Navas-Acien 2006).
Pestisid pula kebiasaannya digunakan dalam pertanian dan program
kesihatan masyarakat seperti mengawal penyakit bawaan vektor. Hal ini
membawa kebaikan kepada ekonomi dan kesihatan masyarakat sepanjang
tahun. Walau bagaimanapun, pestisid boleh memberi keburukan iaitu risiko
kesihatan terhadap manusia dan persekitaran (Sirajuddin et al. 2002). Manusia
boleh terdedah kepada pestisid dalam tiga cara iaitu penyedutan, penyerapan
melaliu kulit, dan mendapat pestisid melalui mulut atau sistem penghadaman
(Sakinah 2009). Laporan menunjukkan sejumlah 40,000 wanita yang bekerja di
ladang kelapa sawit dan getah terdedah dengan semburan pestisid setiap hari.
Kebanyakan pengaduan kes mereka melibatkan sakit di bahagian vagina,
berasa pedih semasa pembuangan air kecil, kanser payudara, loya, muntah,
kesukaran bernafas, masalah kulit, sakit di bahagian abdomen, mata kabur,
dan warna kuku berubah (Saleem et al. 2009).
Maka, amalan dan gaya hidup lestari kalangan masyarakat sangat
penting dipraktikkan khususnya dalam kehidupan seharian mereka. Perkara ini
sangat penting diberi perhatian kerana sikap seseorang individu terhadap alam
sekitarnya bergantung kepada bagaimana dia melihat hubungan dirinya dengan
alam sekitar tersebut. Kita mesti mengubah pandangan kita terhadap alam
sekitar di mana kita mesti meletakkan nilai terhadap alam semulajadi, faham
mengapa dan bagaimana alam sekitar bernilai kepada manusia seluruhnya
serta mengiktiraf bahawa semua benda termasuk alam sekitar mempunyai
tempat dan sebab untuk wujud. Selain itu, kita juga mesti sedar bahawa
manusia hanyalah satu hidupan dan kita sepatutnya berkongsi planet ini
dengan penghuni yang lain (Haliza 2007).
Jika setiap daripada ahli masyarakat memahami sepenuhnya prinsip ini,
barulah mereka akan mengiktiraf dan memperlakukan alam sekitar
berdasarkan nilai sebenarnya kepada manusia (dari sokongan hidup, kekayaan
harta benda, keindahan untuk rekreasi dan estetika dan sebagainya) (Kaufman
1981). Ini bermaksud dalam menggunakan kekayaan alam semulajadi,
seseorang itu mesti berterima kasih di atas ketenteraman dan kekayaan harta
benda yang diperolehi dari alam semulajadi. Justeru, masyarakat perlu
menghargai alam sekitar sebagai sesuatu yang mereka perlukan dan adalah
penting secara keseluruhannya untuk memelihara integriti umum sistem ini,
kitaran asas dan strukturnya (Salmon 1996).
AMALAN GAYA HIDUP MASYARAKAT
Hubungan antara masyarakat dengan alam sekitar sebenarnya boleh
diharmonikan melalui beberapa pendekatan antaranya dengan mempraktikkan
amalan dan gaya hidup yang lestari dalam kehidupan seharian. Amalan dan
gaya hidup yang lestari menuntut agar setiap ahli masyarakat mejalinkan
hubungan yang harmoni dengan alam sekitar bagi mengelakkan timbulnya
pelbagai kesan negatif terhadap persekitaran dan kesihatan.
Justeru, kesedaran dan keprihatinan berterusan masyarakat terhadap
kesihatan persekitaran perlu bermula sejak mereka di bangku sekolah lagi. Di
Malaysia sebagai contoh, The Global Environment Centre (GEC) iaitu badan
bukan kerajaan misalnya telah memulakan program Ranjer Sungai (River
Ranger). Tujuan program Ranjer Sungai adalah untuk memberi pendedahan
dan kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan pengurusan sungai yang
baik selain menanam sifat tanggung jawab menjaga kebersihan sungai. Melalui
program ini, pelajar dan guru akan mempelajari mengenai sungai, masalah
kawasan tadahan sungai dan pengurusan kawasan tadahan. Pelajar
terutamanya berpeluang menguji kualiti air sungai menggunakan kaedah
pemantauan fizikal, kimia dan biologi. Selain itu, mereka juga diajar membuat
peta sungai dan memeriksa status ‘kesihatan’ sungai. Selepas tamat modul
tersebut, pelajar akan diiktiraf sebagai ranjer sungai. Melalui usaha seperti ini
diharapkan generasai muda akan mendapat kefahaman yang lebih baik
mengenai sistem sungai dan lebih menghargai sungai di negara ini (Kalaimani
2008).
Selanjutnya masyarakat harus diberi kefahaman yang jelas bahawa
penjejasan setiap komponen alam sekitar dalam jangka panjang mampu
mengganggu gugat kualiti hidup mereka. Kefahaman yang betul melalui cara
berfikir, minda dan psikologi di samping penghayatan nilai-nilai etika yang baik
kalangan golongan masyarakat berupaya menjadi satu daripada strategi
penting dalam mengasas dan meningkatkan hubungan yang harmoni antara
masyarakat dan alam sekitar. Masyarakat perlu diberi kefahaman jika alam
sekitar terjejas hasil daripada setiap tindak tanduk mereka yang tidak
berharmoni dengan persekitaran, mereka lah yang akan menerima tempias dan
impak hasil daripada setiap tindakan tersebut khususnya terhadap kesihatan.
Masyarakat juga harus digalakkan menyertai dan melibatkan diri secara
aktif terhadap sebarang usaha memelihara dan memulihara persekitaran.
Antara kegiatan yang boleh dilakukan ke arah memupuk semangat mencintai
alam sekitar kalangan masyarakat ialah mewujudkan rakan alam sekitar,
memberi penghargaan dan ganjaran sama ada dalam bentuk wang tunai atau
sebaliknya terhadap individu dan kumpulan yang aktif melindungi alam sekitar,
melibatkan masyarakat secara langsung dalam sebarang projek pembangunan
yang akan diadakan di kawasan mereka misalnya melalui lontaran pendapat,
forum, pengundian dan sebagainya. Dengan itu barulah masyarakat akan lebih
menghargai setiap komponen alam sekitar dan akan memperlakukan alam
sekitar seperti seorang teman baik.
Selain itu, amalan dan gaya hidup lestari yang dipraktikkan juga mampu
memastikan perlakuan dan aktiviti setiap anggota masyarakat seiring dengan
usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sejagat. Namun semua ini
hanya boleh dicapai jika ruang lingkup keseimbangan rohani, jasmani, akli, dan
sosial masyarakat dirangkumkan dan diterjemahkan melalui jalinan amalan dan
gaya hidup yang lestari kalangan masyarakat dalam hubungan mereka dengan
alam sekitar.
Terdapat banyak amalan dan gaya hidup lestari yang boleh dipraktikkan
oleh masyarakat dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar di
samping mengelakkan kesan negatif terhadap kesihatan mereka. Antara
amalan mudah yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat termasuklah (Jabatan
Alam Sekitar 2008):
i) menyokong program kitar semula dan mempraktikkan amalan kitar
semula dengan mengitar semula barang buangan semaksima
mungkin. Antara amalan berkaitan ialah mengguna semula beg
plastik membeli belah untuk mengisi barang buangan/sampah sarap,
mengguna semula bekas kaca dan plastik sebagai tempat
menyimpan barang serta membeli barangan terpakai seperti buku
dan perabut.
ii) merancang tempat untuk membeli belah bagi menjimatkan bahan api
dan masa. Selain itu, jika boleh beli semua barang keperluan dengan
sekali pergi sahaja. Rancang juga pembelian untuk mengelak
daripada membeli barangan yang tidak perlu. Bawa beg sendiri untuk
membeli-belah kerana beg plastik tidak boleh dilupuskan dan
mengambil masa sehingga 500 tahun untuk dilupuskan. Pilih
barangan yang kurang menggunakan bungkusan dan boleh diisi
semula kandungannya bagi mengurangkan penghasilan sisa pepejal.
Jika ada kemudahan, lakukan pembelian secara ‘online’ untuk
mengurangkan penggunaan kenderaan. Jangan beli barangan yang
diperbuat daripada haiwan atau tumbuhan terancam bagi
mengekalkan biodiversiti yang menjamin keseimbangan alam sekitar.
iii) Berbasikal atau berjalan kaki bagi tujuan jarak dekat kerana amalan
ini 100 peratus mesra alam (mengurangkan pencemaran udara)
selain menyihatkan tubuh badan. Selain itu, amalkan perkongsian
kenderaan bagi mengurangkan pencemaran udara dan kesesakan
lalu lintas. Berkongsi kenderaan selama 2 hari dalam seminggu dapat
mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 1590 paun
setahun. Gunakan juga pengangkutan awam bagi mengurangkan
pencemaran udara dan menjimatkan penggunaan petrol. Sebagai
contoh, bas yang membawa 100 penumpang hanya menggunakan
1/10 daripada jarak jalan, memerlukan hanya 1/6 bahan api dan
mengeluarkan 1/16 gas beracun berbanding menggunakan kereta.
iv) Pertimbangkan penggunaan kereta berenjin diesel kerana pelepasan
asap daripada enjin diesel adalah 10 peratus lebih rendah. Bertukar
juga kepada petrol tanpa plumbum kerana ia mengurangkan
pelepasan plumbum ke atmosfera.
v) hentikan penggunaan baja kimia serta racun makhluk perosak dan
jadikan bahan buangan organik sebagai baja yang tinggi nutriennya.
Beli sayur-sayuran dan buah-buahan daripada ladang organik kerana
pengeluar kebiasaannya menggunakan baja organik/kompos serta
tidak menggunakan racun makhluk perosak/pestisid dan ini mampu
mengurangkan pencemaran alam sekitar.
vi) Gunakan mesin pembasuh pakaian yang jimat tenaga kerana dengan
memilih mesin pembasuh yang tinggi penjimatan tenaganya,
penggunaan air dan elektrik dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.
Selain itu, gunakan mesin basuh pakaian hanya apabila muatannya
telah penuh manakala air bilasannya boleh dikumpulkan dan diguna
semula untuk mencuci lantai atau tandas. Menjemur pakaian di
bawah cahaya matahari berbanding menggunakan mesin pengering
pakaian. Amalan ini mampu mengurangkan tenaga yang diperlukan
oleh mesin pembasuh untuk mengeringkan pakaian dan menjimatkan
sebanyak 700 paun karbon dioksida dalam tempoh 6 bulan.
vii) menggunakan peralatan elektrik yang jimat tenaga. Padam dan buka
plak selepas menggunakannya. Sebagai contoh, peralatan elektrik
seperti televisyen yang digunakan selama 3 jam sehari dan
selebihnya dibiarkan dalam keadaan ‘standby mode’ selama 21 jam
akan menggunakan sehingga 40 peratus tenaga dalam keadaan
‘standby mode’. Pilih juga penyaman udara yang jimat tenaga kerana
setiap pertambahan 1 darjah suhu penyaman udara akan
mengurangkan sebanyak 7 peratus penggunaan tenaga elektrik.
viii) kawal kadar aliran air apabila menggunakan paip. Aliran air yang
rendah mampu mengurangkan antara 25 hingga 50 peratus
penggunaan air. Pasangkan juga sistem dua curahan pada tandas
kerana jika dibandingkan dengan sistem satu curahan, sistem dua
curahan dapat mengurangkan penggunaan air sebanyak 50 peratus.
Selain itu, gunakan pancuran air untuk mandi dan elak menggunakan
air takungan kerana mandi menggunakan pancuran dapat
menjimatkan sebanyak 4 kali ganda tenaga. Amalkan juga mengisi
air ke dalam sinki untuk membasuh sayuran atau pinggan mangkuk
kerana ia mampu menjimatkan 15 kali penggunaan air berbanding
membasuh di bawah paip air yang mengalir berterusan. Paip air juga
perlu ditutup dengan sempurna kerana paip yang dibiarkan terbuka
mengakibatkan pembaziran sehingga 9 liter air seminit.
ix) menggantikan mentol bercahaya pijar biasa dengan mentol
berpendaflour padat (CFL). CFL dapat menjimatkan sehingga 60
peratus tenaga berbanding mentol bercahaya pijar.
x) tempatkan peti sejuk jauh daripada sumber haba bagi mengelakkan
ia menggunakan lebih banyak tenaga. Sekiranya peti sejuk
diletakkan di dalam bilik bersuhu 300C hingga 350C, tenaga yang
digunakan hampir 2 kali ganda dan meningkatkan pelepasan karbon
dioksida sebanyak 160 kg setahun.
PERANAN PIHAK BERKUASA DALAM MEMUPUK GAYA HIDUP LESTARI KALANGAN MASYARAKAT
Banyak negara di dunia termasuk Malaysia sedang menghadapi masalah
berkaitan penjejasan alam sekitar. Di Malaysia, usaha melestarikan
persekitaran memerlukan agensi-agensi kerajaan sama ada di peringkat
persekutuan, negeri atau tempatan bertindak sebagai perancang dan
pelaksana selain dibantu oleh penguatkuasaan undang-undang dan garis
panduan yang bertindak sebagai alat kawalan. Program pengurusan alam
sekitar tidak dapat dijalankan tanpa agensi yang ditugaskan merancang dan
melaksanakan program yang sesuai selain dibantu oleh penglibatan aktif
golongan masyarakat dalam hal berkaitan persekitaran (Haliza 2008).
Di negara ini, antara isu alam sekitar yang menjadi tumpuan dan
perhatian masyarakat ialah isu pengurusan sisa pepejal. Hal ini disebabkan
jumlah penjanaan sisa yang semakin meningkat setiap tahun sedangkan tapak
pelupusan sampah sedia ada semakin menghampiri tempoh jangka hayat
masing-masing. Di Malaysia sejumlah 22,000 tan sisa pepejal dijana setiap hari
(Theng 2008). Rakyat negara ini juga didapati menggunakan 4000-5000 tan
plastik setiap hari iaitu peningkatan 10 kali ganda berbanding 10 tahun lalu
(Sharifuddin 2008). Justeru, langkah penyelesaian yang wajar dan berkesan
diperlukan supaya tidak berlakunya degradasi alam sekitar kesan daripada sisa
tersebut dan juga bagi menghindar kesannya ke atas kesihatan masyarakat.
Pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik dan sempurna membawa
banyak keburukan, antaranya menyebabkan pencemaran kepada alur air,
atmosfera dan tanih; keracunan kepada manusia, tumbuhan dan hidupan;
kesan kepada kesihatan seperti penyakit kanser, kerosakan kulit dan tisu
badan serta kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah pula boleh
menyebabkan pengeluaran bahan toksin yang berbahaya kepada kesihatan.
Umumnya, pengurangan penjanaan sisa pepejal dapat dilakukan
antaranya melalui amalan dan gaya hidup lestari kalangan masyarakat. Di
bawah, disenaraikan beberapa contoh bagaimana pendekatan yang
digunapakai oleh pihak berkuasa di beberapa negara berjaya memupuk amalan
dan gaya hidup lestari kalangan masyarakat dalam usaha mengurangkan
penjanaan sisa pepejal.
Di Kyoto (Jepun), sistem yang dikenali sebagai “Bayar Ketika Buang”
dilaksanakan. Di bawah sistem ini, sisa daripada rumah akan dikenakan
bayaran sebanyak 1 yen (RM0.035) untuk setiap liter sisa pepejal yang dibuang
dari rumah untuk kutipan. Tong sampah yang biasa digunakan oleh rumah-
rumah, yang bersaiz 120 liter akan dikenakan bayaran sebanyak 120 yen untuk
setiap kali kutipan (RM4.20). sistem ini telah terbukti berkesan mengurangkan
penjanaan sisa pepejal di Kyoto kerana didapati penduduknya sentiasa
mencuba sedaya-upaya untuk melaksanakan 3R (Reduce, Reuse dan
Recycle), demi mengurangkan penjanaan sisa pepejal daripada rumah (Theng
2008).
Di Nova Scotia (Kanada) pula, sistem “Deposit Refund System”
dilaksanakan. Sistem ini mengkehendaki seseorang pembeli membayar
sejumlah wang tambahan (cagaran) selain daripada harga barangan yang
dibeli dan wang berkenaan akan dikembalikan sekiranya pembeli tersebut
mengembalikan barang terpakai yang sama untuk digunasemula atau
dikitarsemula. Sebagai contoh, apabila membeli satu kotak minuman air
mineral yang mengandungi 12 botol, pembeli dikehendaki membayar wang
tambahan sebanyak C$0.20 (RM0.60) untuk setiap botol. Jumlah sebanyak
C$2.40 (RM7.20) untuk 12 botol akan dikembalikan sekiranya pembeli tersebut
mengembalikan botol kosong air mineral berkenaan apabila membeli minuman
yang lain. Sistem ini memupuk tabiat pengguna untuk menghantar balik bekas
minuman untuk digunasemula atau dikitarsemula. Berdasarkan laporan,
sebanyak 1.7 bilion bekas minuman telah berjaya dikembalikan di bawah
sistem ini dalam tempoh perlaksanaan selama 9 tahun di Nova Scotia (Theng
2008).
Manakala di Sydney (Australia), setiap rumah dibekalkan dengan satu
tong sampah bersaiz 60 liter dan sisa pepejal yang dibuang ke dalam tong ini
akan dikutip secara percuma satu kali setiap minggu. Sekiranya sesebuah
rumah itu menjana sisa pepejal melebihi saiz tong, maka penghuninya
dikehendaki membeli tiket berharga A$5 (RM12) untuk setiap lebihan sisa
sebanyak 60 liter dan tiket tersebut ditampalkan di atas tong sampah. Hanya
tong yang ditampalkan tiket akan dikutip. Sistem ini juga secara langsung
memupuk tabiat penduduk untuk mengurangkan penjanaan sisa pepejal,
sebanyak 60 liter.
Sementara itu di Christchurch (New Zealand) pula, pada bulan Mei
setiap tahun, setiap rumah akan dibekalkan dengan 26 beg plastik hitam
(kapasiti 15 kg), bercetak logo rasmi pihak berkuasa, secara percuma.
Penduduk mempunyai pilihan untuk menggunakan beg plastik berkenaan pada
bila-bila masa diperlukan. Sekiranya kesemua beg plastik tersebut dihabiskan
sebelum tempoh satu tahun sebelum bekalan baru diberikan, maka penduduk
dikehendaki membeli sendiri beg sampah daripada pihak berkuasa dengan
harga NZ$8 (RM17) untuk setiap 5 beg tambahan. Justeru, semakin banyak
sisa dijana, semakin banyak beg plastik tambahan perlu dibeli. Melalui
pendekatan ini, pihak berkuasa di Christchurch dapat mengurangkan bekalan
beg plastik percuma daripada 52 beg kepada 26 beg pada tahun 2004. Usaha
ini juga menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti 3R dan pengkomposan di
rumah (Theng 2008).
Amalan dan kaedah di atas telah terbukti berjaya diamalkan oleh
beberapa negara bagi menangani isu penjanaan sisa pepejal boleh dijadikan
contoh untuk dipraktikkan di negara ini. Namun, sebelum ianya dilaksanakan
masyarakat harus diberi kefahaman terperinci terlebih dahulu tentang kebaikan
mengamalkan aktiviti 3R di samping melatih mereka agar terbiasa dengan
aktiviti ini. Setelah masyarakat mempunyai kesedaran terhadap kepentingan
mengamalkan gaya hidup yang lestari baru lah aspek penguatkuasaan diberi
penekanan. Melalui amalan dan gaya hidup yang lestari oleh masyarakat,
tempoh hayat tapak pelupusan sampah dapat dipanjangkan dan keperluan atau
permintaan terhadap sumber asli dapat dikurangkan.
KESIMPULAN
Kemampanan alam sekitar adalah merupakan asas untuk menjamin
kesejahteraan kesihatan. Namun, aktiviti pembangunan dan gaya hidup
masyarakat yang tidak lestari akan menyebabkan berlakunya kemerosotan
kualiti alam sekitar. Sebarang bentuk penjejasan terhadap alam sekitar akan
mengakibatkan masyarakat menanggung akibatnya sama ada dalam bentuk
kemerosotan kesihatan ataupun dalam keadaan yang lebih ekstrem kematian.
Bagi menangani permasalahan tersebut, masyarakat sebagai sebahagian
daripada komponen persekitaran haruslah mempraktikkan amalan dan gaya
hidup lestari dalam usaha memelihara alam sekitar dan juga melindungi
kesihatan mereka.
PENGHARGAAN
Penulis ingin merakamkan Penghargaan kepada Universiti Sains Malaysia kerana
membiayai kajian ini di bawah Geran Universiti Penyelidikan (RU) bertajuk
Penglibatan Masyarakat Awam di Malaysia Dalam Isu-isu Berkaitan Alam Sekitar
Dengan Rujukan Kepada Negeri Kelantan dan Kedah (1001/PPSK/816111).
RUJUKAN
Des Jardins, J.R. 1997. Environmental ethics: an introduction to environmental philosophy. Washington: Wadsworth Publishing Company.
Environment News Service at http://www.ensnewswire.com/ens/oct2006/2006-10-05-01.asp.
Haliza Abdul Rahman. 2007. Hubungan Manusia dan Alam Sekitar : Dimana Titik Kemampanannya? International Conference on Social Sciences and Humanities (ICOSH 07), 13rd -15th March 2007. Universiti Kebangsaan Malaysia. Organised by Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia. (CD Proceeding).
Haliza Abdul Rahman. 2008. Suatu Sorotan Terhadap Krisis Alam Sekitar Di Malaysia. Dlm. Haliza Abdul Rahman, Hasmah Abdullah, Nik Norliza Nik Hassan, Norhaniza Abdul Khairi, Rapeah Suppian dan Sakinah Harith (pnyt.). Prosiding Persidangan Peringkat Kebangsaan Persekitaran dan Kesihatan. Organized by School of Health Sciences, Universiti Sains Malaysia. Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan. 29-30 Oktober 2008. ISBN : 978-983-44173-0-7. 26-35.
Haliza Abdul Rahman. 2009. Masyarakat, Etika Persekitaran dan Kelestarian Alam Sekitar. Dlm. Jamaluddin Md. Jahi, Muhammad Rizal Razman, Deni Efizon, Kadaruddin Aiyub, Kadir Ariffin & Bustari Hasan (Eds.). Seminar Antarabangsa Ke-2 Ekologi, Habitat Manusia dan Perubahan Persekitaran.. 20-21 Mac 2009. Allson Kelana Hotel, Nilai, Negeri Sembilan. ISBN 978-983-2457-11-4. 457-464
Haliza Abdul Rahman dan Rapeah Suppian. 2009. Pencemaran alam sekitar dan kesihatan awam. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. (kemasukan input teknikal).
Hasmah Abdullah. 2009 Logam berat dan kesihatan manusia. Dlm Haliza Abdul Rahman, Hasmah Abdullah, Rapeah Suppian dan Sakinah Harith (Eds.). Persekitaran, Kesihatan dan Kesejahteraan Masyarakat. Penerbit Universiti Sains Malaysia: Pulau Pinang. 156-177. (kemasukan input teknikal).
http://www.planetpark.com/dailynewsstory.cfm/newsid/50062/story.htm. 2009. Drought in Australia food bowl worsens.
Jabatan Alam Sekitar. 2008. Amalan mesra alam (edisi ke-3). Jabatan Alam Sekitar: Putrajaya.
Jamaluddin Md. Jahi. 2009. Kemampanan alam sekitar asas kesejahteraan
kesihatan: keperluan untuk pengurusan alam sekitar bersepadu. Dlm Haliza Abdul Rahman, Hasmah Abdullah, Rapeah Suppian dan Sakinah
Harith (Eds.). Persekitaran, Kesihatan dan Kesejahteraan Masyarakat. Penerbit Universiti Sains Malaysia: Pulau Pinang. 252-262. (kemasukan input teknikal).
Kalaimani Subramaniam. 2008. Program kesedaran Sungai SMK Teloi Kanan. Dlm. Era Hijau, keluaran no.4 Jabatan Alam Sekitar Malaysia: Putrajaya. 14-15.
Kaufman, P.I. 1981. The instrumental value of nature. Environmental Review 4(1).
Ma Zhuguo, Dan Li dan Hu Yuewen. 2004. The extreme dry/wet events in northern China during recent 100 uears. Journal of Geographical Sciences 14(3):275-281.
Navas-Acien, A., Silbergeld, E. K., Streeter, R. A., Clark, J. M., Burke, T. A. dan Guallar, E. 2006. Arsenic exposure and type 2 diabetes: a systematic review of the experimental and epidemiologic evidence. Environ Health Perspect. 114:641–8.
Saleem, M., Arshad, M., Khalid, A., Hussain, S. dan Siddique, T. 2009. Impact of pesticides on soil microbiol diversity, enzymes, and biochemical reactions. Advances in Agronomy. 102: 159-200.
Salmon, E. 1996. Towards an ethic of our environments : A course correction for deep environmental ethics. http;//www.mosquitonet.com/~esalmon/env/thesis/imdex.html.
Sakinah Harith. 2009. Penggunaan pestisid dan kesannya terhadap makanan dan kesihatan. Dlm Haliza Abdul Rahman, Hasmah Abdullah, Rapeah Suppian dan Sakinah Harith (Eds.). Persekitaran, Kesihatan dan Kesejahteraan Masyarakat. Penerbit Universiti Sains Malaysia: Pulau Pinang. 178-190. (kemasukan input teknikal).
Sharifuddin M. Zain. 2008. Tapak pelupusan sampah dan kesan ke atas manusia. Dlm. Era Hijau, keluaran no.4 Jabatan Alam Sekitar Malaysia: Putrajaya. 7.
Sirajuddin, H., Daud, A.R. dan Roslinah, A. 2002. Surveillance of pesticide poisoning by the ministry of health 1997-2000. NCD Malaysia. 1(4): 4-7.
Theng Lee Chong. 2008. Sistem pengurusan pepejal inovatif. Dlm. Era Hijau, keluaran no.4 Jabatan Alam Sekitar Malaysia: Putrajaya. 5-6.
Tseng, C. H., Tseng, C. P., Chiou, H. Y., Hsueh, Y. M., Chong, C. K., dan Chen, C. J. 2002 Epidemiologic evidence of diabetogenic effect of arsenic. Toxicol Lett.133:69–76.
Vesilind, P.A., Peirce, J.J. dan Weiner, R. 1988. Environmental Engineering (2nd edition). Butterworth Publishers; USA.